Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni melawat tapak projek pelancongan agro seluas 1,000 ekar di Kampung Johan Setia, Shah Alam pada 2 Ogos 2023. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Pusat pelancongan agro jadi lubuk rezeki petani, penduduk

OLEH NAS NORZIELA NASBAH dan YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB

KLANG, 2 OGOS: Kawasan Johan Setia bakal dijadikan pusat pelancongan agro yang akan membantu lebih 150 petani dan penduduk sekitar meraih pendapatan hasil jualan pertanian.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis berkata kawasan seluas 1,000 ekar itu turut dilengkapi dataran untuk menempatkan pusat rancangan ekonomi.

“Kami merancang untuk merealisasikan impian petani dan penduduk sekitar menjana pendapatan melalui hasil pertanian mereka dengan mewujudkan pusat kegiatan ekonomi.

“Perancangan itu termasuk menyediakan tapak jualan hasil tani, trak makanan (foodtruck) dan pasar malam,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni ketika ditemui di sini hari ini.

Johan Setia merupakan pembekal makanan kedua terbesar di negeri ini selepas Ulu Yam, dengan sebahagian kawasan diwartakan Majlis Perbandaran Klang sebagai zon Revolusi Hijau hingga 2033.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman meninjau projek penanaman cili di Kampung Kubu Gajah yang akan menjadi model koperasi guru Kafa dan guru Kemas.

Sementara itu, calon HARAPAN DUN Paya Jaras bercadang menubuhkan koperasi khas untuk kebajikan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (Kemas).

Menurut Mohd Khairuddin Othman, hasil koperasi diperoleh menerusi penanaman cili seluas suku ekar di Kampung Kubu Gajah, yang mampu meraih keuntungan bulanan sehingga RM12,000.

“Saya beberapa kali mencadangkan agar satu koperasi guru Kafa dan guru Kemas ditubuhkan bagi menjana pendapatan, sekali gus memperkasa kebajikan guru kedua-dua sekolah tersebut.

“Susulan itu, saya akan memohon kepada Institut Kemajuan Desa sebidang tanah untuk diusahakan dengan tanaman seperti cili dan hasil pendapatan itu dibawa semula ke koperasi,” katanya.

Mohd Zawawi dan Mohd Khairuddin akan mempertahan kerusi sama dalam pilihan raya negeri yang berlangsung pada 12 Ogos.

 


Pengarang :