Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli mengangkat tangan selepas diumumkan sebagai calon bagi kerusi itu di luar Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, Gombak pada 29 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rekod cemerlang beri kelebihan untuk menang DUN Hulu Kelang

OLEH AZIAN AZIZ dan SITI ROHAIZAH ZAINAL

HULU KELANG, 1 OGOS: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang yakin mempunyai kelebihan untuk memenangi kerusi yang ditandingi berbanding pesaing Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Juwairiya Zulkifli berkata selain merupakan anak jati Hulu Kelang, beliau juga mempunyai rekod baik sebagai Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati yang sentiasa ada untuk rakyat yang memilihnya.

“Sebagai calon baharu saya jadikan perkara ini sebagai kelebihan…selain itu saya juga wanita, masih muda serta mempunyai lebih tenaga (untuk berkhidmat) berbanding beliau,” katanya dalam sesi temu bual bersama media di sini hari ini.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) DUN Jeram berhasrat membuka peluang perniagaan lebih luas kepada golongan muda sekiranya diberikan mandat pada pilihan raya negeri (PRN).

Datuk Jahaya Ibrahim berkata sebagai seorang usahawan, beliau mahu lebih ramai anak muda menceburkan diri dalam perniagaan supaya dapat meningkatkan taraf hidup mereka.

“Saya mahu beri peluang perniagaan kepada anak muda supaya mereka memulakan perniagaan. Contohnya, jika mereka minat berniaga, kita bantu mereka dapatkan lesen dan tempat perniagaan yang strategik. Kita permudahkan mereka,” katanya ditemui SelangorKini.

Juwairiya (HARAPAN) berdepan Mohamed Azmin (PN) manakala, Jahaya (BN) disaingi Harrison Hassan (PN). Hari mengundi PRN ditetapkan 12 Ogos ini.


Pengarang :