Seorang polis bantuan Prasarana bergambar berlatarkan dinding Stesen MRT Merdeka yang diukir Rukun Negara pada 30 Ogos 2019. Foto Facebook RapidKL
BERITA UTAMABUDAYARENCANA

Rukun Negara wadah penyatuan rakyat pelbagai bangsa

Ikrar Rukun Negara
BAHAWASANYA NEGARA KITA MALAYSIA
mendukung cita-cita hendak:
Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam
kalangan seluruh masyarakatnya;
Memelihara cara hidup demokratik;
Mencipta satu masyarakat yang adil di mana
kemakmuran negara akan dapat dinikmati
secara adil dan saksama;
Menjamin satu cara liberal terhadap tradisitradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagaibagai corak;
Membina satu masyarakat progresif yang
akan menggunakan sains dan teknologi
moden.
MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan
menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami
untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan
atas prinsip-prinsip yang berikut:
KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
KELUHURAN PERLEMBAGAAN
KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
KESOPANAN DAN KESUSILAAN

Rukun Negara diisytihar pada 31 Ogos 1970 sempena sambutan kemerdekaan Malaysia ke-13 oleh Yang di-Pertuan Agong keempat Tuanku Ismail Nasiruddin Shah ibni Sultan Zainal Abidin.

Tarikh itu juga menyaksikan buat pertama kalinya Rukun Negara diikrarkan oleh Staf Sarjan Nordin Ahmad bersama 8,000 rakyat Malaysia pelbagai kaum di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur.

Diterbitkan melalui warta kerajaan sebagai pengisytiharan diraja, Rukun Negara lahir sebagai wadah penyatuan rakyat yang terpisah gara-gara dasar pecah perintah semasa penjajahan British.

Sebelum merdeka, hubungan tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India dibezakan mengikut tempat tinggal dan pekerjaan, sekali gus membataskan perhubungan antara mereka.

Selepas merdeka, hubungan kaum semakin keruh apabila ada pertubuhan-pertubuhan politik menyentuh isu sensitif membabitkan etnik dan bahasa.

Kemuncaknya, pada 13 Mei 1969 tercetus rusuhan kaum di Kuala Lumpur selepas pilihan raya umum ketiga.

Berikutan itu, parlimen digantung dan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan.

Ia bertujuan mengembalikan keamanan, menegakkan semula undang-undang dan memupuk suasana harmoni antara masyarakat majmuk negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein yang mengetuai MAGERAN ketika itu menubuhkan tiga badan iaitu Majlis Muhibah Negara, Jabatan Perpaduan Negara dan Majlis Perundingan Negara (MPN).

MPN mengadakan mesyuarat buat kali pertama dipengerusikan Abdul Razak pada 27 Januari 1970 di Parlimen selama dua hari.

Mesyuarat MPN kali kedua berlangsung antara 2 hingga 4 Mac 1970. Pada akhir mesyuarat itu, majlis bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Rukun Negara bawah seliaan MPN.

Terdiri daripada 13 ahli daripada pelbagai latar belakang, kaum dan kepakaran, jawatankuasa berkenaan dipengerusikan menteri kewangan ketika itu, Tun Tan Siew Sin.

Antaranya ahli jawatankuasa ialah Menteri Luar Negeri Tun Muhammad Ghazali Shafie, wakil wanita dan penduduk Kampung Baru Kuala Lumpur Tan Sri Aishah Ghani, tokoh akademik Dr Syed Hussein Alatas dan pengasas MIC Datuk Athi Nahappan.

Jawatankuasa ini bermesyuarat kali pertama pada 31 Mac 1970 di Bilik Gerakan Perbendaharaan Malaysia di Kuala Lumpur.

Turut diundang pada mesyuarat itu ialah Peguam Cara Negara Tun Salleh Abas (kemudian menjadi Ketua Hakim Negara), Zain Arshad (wakil Kementerian Luar Negeri), dan dua ahli akademik daripada Universiti Malaya iaitu Tan Sri Khoo Kay Khim dan James F Ongkili.

Dalam dokumentari khas berjudul ‘Rukun Negara: A Nation United’ sempena Hari Kemerdekaan ke-63 pada 2020, Salleh mendedahkan beliau membuat penulisan dan draf asal Rukun Negara.

Sebelum MAGERAN meluluskan draf Rukun Negara, beberapa pindaan dibuat antaranya ‘menjunjung perlembagaan’ kepada ‘keluhuran perlembagaan’. Akhirnya ia diluluskan pada 13 Ogos 1970.

Rukun Negara pada dasarnya dirangka kepada dua bahagian iaitu cita-cita dan prinsip. Ia kemudiannya diterjemah sebagai ideologi nasional buat Malaysia.


Pengarang :