Muhammad Adam Jailani, 20, dari Petaling Jaya menjual aneka makanan di majlis sambutan ambang Hari Kebangsaan ke-66 peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos 2023. Foto JULIANA JOHAR / SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sambutan ambang merdeka beri rezeki berganda buat peniaga

OLEH JULIANA JOHAR

SHAH ALAM, 31 OGOS: Kehadiran lebih 10,000 pengunjung yang membanjiri Dataran Kemerdekaan bagi majlis sambutan ambang Hari Kebangsaan ke-66 peringkat negeri pada malam tadi memberi rezeki berlipat kali ganda buat peniaga.

Kebanyakan peniaga yang ditemui menyatakan sambutan tahun ini dilihat lebih meriah berbanding tahun-tahun terdahulu selain pertambahan jumlah pengunjung yang sama-sama teruja menyaksikan pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang majlis sambutan itu berlangsung.

Peniaga air, Hanafi Pastil, 23, dari Padang Jawa berkata dia menggunakan kesempatan malam sambutan itu untuk berniaga bagi menambah pendapatan.

Hanafi Pastil

“Saya memang menantikan malam sambutan ambang merdeka bagi bersama-sama melihat kemeriahan di sini selain menggunakan kesempatan ini untuk tambah pendapatan.

“Saya hanya keluarkan modal sebanyak RM800 dan Alhamdulillah mendapat keuntungan berlipat ganda, kira-kira boleh cecah sehingga RM2,500 untuk satu malam sahaja,” katanya.

Sementara itu, peniaga Muhammad Adam Jailani, 20, dari Petaling Jaya yang menjual aneka makanan seperti pisang goreng, takoyaki dan apam balik berkata jualan di gerainya sangat memberangsangkan selain terharu melihat semangat patriotik rakyat Selangor.

“Alhamdulillah, jualan pada hari ini (semalam) sangat bagus jika dibandingkan hari-hari biasa saya meniaga di gerai yang terletak di Sungai Way.

“Meniaga pada malam sambutan ambang merdeka ternyata memberi rezeki berlipat ganda buat kami para peniaga dan boleh kata saya boleh raih keuntungan tiga kali ganda,” katanya.

Masrimah Asri

Peniaga air tin dan buah potong, Masrimah Asri, 38, dari Shah Alam pula berkata ini merupakan tahun kedua dia meniaga di lokasi tersebut dan barangan jualannya laris terjual dalam tempoh dua jam sahaja.

“Saya mula berjualan pada jam 9 malam dan Alhamdulillah semua licin habis terjual. Buah potong seperti nanas dan jambu pun turut dapat sambutan selain jualan air tin yang laris.

“Memang sambutan tahun ini lebih meriah dengan ramai pengunjung yang datang bersama-sama ahli keluarga serta rakan-rakan bagi menyaksikan perarakan yang disediakan khusus buat penduduk di sekitar Selangor,” katanya.

Sambutan ambang Hari Kebangsaan ke-66 peringkat negeri diserikan dengan kehadiran Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Pengunjung disajikan dengan pelbagai program menarik antaranya perarakan 66 kontijen, persembahan kawad senyap, t-baton, dan pertunjukan bunga api yang menjadi simbolik sambutan.

Selain itu, sambutan itu turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian daripada Datuk Awie, Ziana Zain dan Iman Troye.

 


Pengarang :