Orang ramai mendengar syarahan Sama’ Sifat Nabi SAW dan Ijazah Hadis Musalsal disampaikan oleh bekas Mufti Besar Mesir Dr Ali Jum’ah ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 23 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Syiar Islam kian kukuh di Selangor, makin banyak program dianjur

SHAH ALAM, 2 OGOS: Momokan sesetengah pihak bahawa kedudukan Islam tergugat jika negeri diperintah oleh Pakatan Harapan (PH) jauh menyimpang dari realiti sebenar apabila kedudukan agama rasmi itu dilihat terus diperkukuh di bawah pimpinan Kerajaan Negeri Selangor.

Ketua Institut Maqasid Syariah Jabatan Kecemerlangan Penyelidikan Universiti Selangor (Unisel) Hasri Harun berkata berdasarkan pemerhatiannya program berbentuk dakwah di negeri itu kian meningkat dari tahun ke tahun, malah peruntukan yang diberi kerajaan negeri kepada institusi dan agensi kerajaan berkaitan agama Islam juga bertambah.

“Mengambil contoh usaha pemutihan sekolah agama persendirian yang dilaksanakan kerajaan negeri, ia seharusnya disokong semua umat negeri ini yang bertujuan untuk mengangkat kualiti dan taraf institusi itu.

“Namun jika ada satu dua kes pusat tahfiz yang diambil tindakan, dikatakan pula sebagai usaha untuk melenyapkan agama Islam. Perkara sebegini harus dijelaskan kepada semua masyarakat awam secara keseluruhan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Bagi Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS), Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa berkata pelbagai program dilaksanakan oleh kerajaan negeri dalam memperkasa institusi tahfiz membabitkan peruntukan tahunan berjumlah jutaan ringgit.

PITAS dianggotai 478 sekolah agama persendirian dengan jumlah pelajar melebihi 22,000 orang.

Beliau berkata sejak 2008 kerajaan negeri telah memberi peruntukan tahunan sebanyak RM10 juta kepada institusi tahfiz bagi pembaikan infrastruktur bangunan, selain menyalurkan pelbagai bentuk biasiswa dan bantuan kewangan lain.

“Sejak 2018 juga, kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari mengadakan program fast track Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk pelajar tahfiz belajar secara percuma pada hari hujung minggu di 12 pusat pengajian terpilih dengan peruntukan RM2 juta setahun,” katanya.

Malah beliau difahamkan kerajaan negeri juga membuat perancangan untuk memantapkan pendidikan tahfiz di Selangor yang kini telah mempunyai lima Maahad Tahfiz Integrasi Selangor yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Selangor, selain merancang untuk menubuhkan sembilan Maahad Tahfiz Integrasi di sembilan daerah negeri itu.

Orang ramai membaca yasin dan tahlil ketika program Darul Ehsan Berselawat di Dataran Karnival Stadium Shah Alam, Shah Alam pada 14 Januari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pada masa sama, Muhamad Hafiz meminta kerajaan negeri agar mempertimbangkan dana sokongan bagi membantu pusat tahfiz swasta negeri itu dalam bentuk elaun tambahan kepada guru mereka memandangkan jumlah gaji yang diterima kebanyakannya adalah rendah dan dalam kategori asnaf.

Sejak 2018 hingga tahun lepas, kerajaan Selangor dilaporkan telah memperuntukkan RM1.4 bilion bagi mengukuh syiar Islam di negeri itu merangkumi kebajikan untuk kakitangan masjid berbentuk elaun serta sumbangan khas perayaan, caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada 4,200 guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) serta dana untuk keperluan institusi sekolah agama dan rumah ibadat.

Negeri itu juga meriah dengan penganjuran pelbagai program berbentuk kerohanian seperti Festival Turath Islami Selangor, Muzakarah Ulama-Umara dan Majlis Zikir Darul Ehsan yang melibatkan agamawan tempatan dan luar negara.

Terbaharu, penganjuran Majlis Darul Ehsan Berselawat 2.0 di Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam pada 29 Julai lepas yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menarik lebih 5,000 hadirin dari pelbagai peringkat umur.

Kerajaan negeri juga terus konsisten dalam mendaulatkan kedudukan Islam dengan meletakkan teras agama sebagai cahaya dan inspirasi kehidupan bermaruah bagi Tawaran Kita Selangor sekiranya gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) dipilih untuk menerajui negeri ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos nanti.

Di bawah teras berkenaan, gabungan PH dan BN menawarkan antaranya kenaikan elaun imam, bilal, siak, nazir secara berperingkat, memudah cara pendaftaran sekolah menengah agama Islam agar selamat dan kondusif untuk pelajar;

Memperkenal Biasiswa Al-Ghazali untuk pelajar tahfiz, pondok dan sekolah agama rakyat, subsidi kos tunai haji RM2,000 kepada RM3,000 jemaah muassasah kali pertama dan memperluas pengajian kitab turath ke setiap daerah.

– BERNAMA


Pengarang :