Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad ditemu bual Media Selangor di pejabat Jais, Shah Alam pada 23 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM
AGENDANASIONAL

Taburan tidak seimbang, Jais susun semula lebihan guru Kafa

SHAH ALAM, 27 OGOS: Pertukaran guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) bertujuan menyusun semula lebihan tenaga pengajar itu, kata pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Datuk Mohd Shahzihan Ahmad menjelaskan penyelarasan menyeluruh dibuat berpandu kekosongan dan keperluan mengikut kelas berdasarkan maklumat taburan guru seluruh negeri pada akhir Mac.

Katanya, penyusunan semula itu dijalankan berdasarkan nisbah keperluan sebenar mengikut daerah secara berperingkat berikutan data berkenaan menunjukkan taburan guru tidak seimbang.

Beliau berkata Sabak Bernam dan Kuala Selangor menjadi dua daerah pertama dalam proses itu membabitkan 125 guru Kafa iaitu 45 orang di Sabak Bernam dan Kuala Selangor (80 orang).

“Penempatan baharu bagi lebihan guru di kedua-dua daerah tersebut dilakukan dengan mengambil kira faktor logistik guru-guru terlibat,” katanya sambil menjelaskan mereka diberi taklimat pada 21 Ogos.

Kenyataan dua hari lalu itu mengulas aduan berkaitan pertukaran guru di sekolah rendah agama (SRA) kedua-dua daerah tersebut.

Shahzihan juga menjelaskan penyusunan berkenaan melibatkan pergerakan 45 guru dari Sabak Bernam ke Kuala Selangor, 50 dari Kuala Selangor ke Klang dan 30 lagi ke Gombak.

“Jabatan ini sedia menimbangkan apa juga masalah berbangkit akibat penyusunan semula ini dengan alasan yang munasabah dan tidak mengganggu maksud sebenar penyusunan semula,” katanya.

Beliau juga menyatakan Jais sentiasa membuka pintu perbincangan dan meminta orang ramai supaya tidak membuat telahan tanpa asas yang boleh menimbulkan keresahan dalam masyarakat.

“Banyak perkara akan dapat diselesaikan dengan permesyuaratan, sebaliknya banyak perkara tidak selesai jika individu atau pihak-pihak mengambil sikap menangguk di air keruh,” katanya.

Pada 18 Mei lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan Jais akan melantik 656 guru Kafa secara berperingkat dalam tempoh lima tahun sehingga 2027.

Sebagai langkah awal, beliau berkata seramai 150 guru dilantik tahun ini bagi mengekal kualiti pengajaran sekali gus mengurangkan beban mereka dengan meningkatkan bilangan guru.


Pengarang :