Calon Pakatan Harapan DUN Sungai Pelek Lwi Kian Keong beramah mesra bersama penduduk di medan selera Dengkil, Sepang pada 3 Ogos 2023. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Tekad lonjak potensi pelancongan agro, tingkat ekonomi warga Sungai Pelek

SEPANG, 3 OGOS:  Pelancongan agro di Sungai Pelek akan diberi tumpuan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) itu jika diberi mandat pada pilihan raya negeri 12 Ogos.

Lwi Kian Keong berkata sektor itu mempunyai potensi yang besar untuk dimajukan memandangkan banyak ladang buah naga yang diusahakan penduduk mampu menarik kehadiran pelancong sekali gus membantu  meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Calon Pakatan Harapan Dewan Undangan Negeri Sungai Pelek Lwi Kian Keong. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

“Ada beberapa pengusaha yang sudah mula buka ladang mereka untuk lawatan, jadi kita mahu kembangkan aktiviti ini dan jadikan destinasi wajib lawat jika pelancong berkunjung ke Selangor.

“Saya mahu naikkan kuasa ekonomi masyarakat Sungai Pelek ini melalui pelancongan agro,” katanya ketika ditemui.

Beliau sebelum itu menyertai sesi Kopitiam Talk Dengkil di medan selera Dengkil sebelum melawat pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan Sepang di pekan Sungai Pelek di sini, hari ini.

Kian Keong yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Kampung Baru Salak dan Ahli Majlis Perbandaran Sepang berkata isu lain yang akan diberi tumpuan termasuk naik taraf infrastruktur seperti jalan raya serta masalah banjir yang berlaku di kawasan itu.

“Saya percaya dengan pengalaman saya pengundi boleh menilai dengan baik dan mengundi HARAPAN bagi memastikan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan senada supaya kita boleh aturkan penyelesaian kepada masalah banjir dan infrastruktur di sini.

“Selain itu kerjasama erat antara gabungan perpaduan yang mengambil inisiatif melaksanakan kempen bersama-sama meyakinkan rakyat untuk memilih gabungan ini pada pilihan raya negeri 12 Ogos ini,” katanya.

Calon Pakatan Harapan DUN Sungai Pelek dan Pandamaran Lwi Kian Keong (dua kiri) bersama Calon Barisan Nasional Dengkil Noorazli Said beramah mesra bersama pengunjung selepas program Kopitiam Talk Dengkil pada 3 Ogos 2023. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

Dalam pilihan raya negeri 12 Ogos ini kerusi DUN Sungai Pelek menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Kian Keong, Dato’ Suhaimi Ghazali (Perikatan Nasional) dan Nageswaran Ravi (bebas).


Pengarang :