Calon Pakatan Harapan DUN Bukit Melawati Thiban Subbramaniam menunjukkan risalah Tekad Thiban sempena pilihan raya negeri di pejabat Ahli Parlimen Kuala Selangor pada 9 Ogos 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Thiban azam selesaikan isu pengangkutan, pendidikan pada tahun ini

KUALA SELANGOR, 9 OGOS: Calon Pakatan Harapan Bukit Melawati berazam menyelesaikan isu pengangkutan dan pendidikan pada tahun ini, sekiranya menang pada pilihan raya negeri (PRN), Sabtu ini.

Thiban Subramaniam berkata beliau memandang serius isu kesesakan lalu lintas dibeberapa kawasan termasuklah pekan Kuala Selangor terutamanya pada hujung minggu sehingga menjejaskan rutin harian penduduk.

Selain itu, Thiban mahu membawa masalah kemudahan asas institusi pendidikan yang uzur kepada Kerajaan Negeri dan Kementerian Pendidikan demi anak-anak di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Calon Pakatan Harapan DUN Bukit Melawati Thiban Subbramaniam ketika sidang media Tekad Thiban sempena pilihan raya negeri di pejabat Ahli Parlimen Kuala Selangor pada 9 Ogos 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Jika saya terpilih sebagai wakil rakyat, saya akan menumpukan isu pengangkutan dan pendidikan untuk diselesaikan secepat mungkin, sekurang-kurangnya pada tahun ini juga.

“Dua perkara itu merupakan dilema yang sedang dihadapi penduduk DUN Bukit Melawati dan mereka berhak untuk menikmati keselesaan di sini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan manifesto Lima Tekad Thiban di sini, hari ini.

Tiga lagi fokus utama Thiban adalah meningkatkan ekonomi setempat, mewujudkan projek perumahan Rahmah bawah RM100,000, serta pembangunan kemudahan sukan di kampung tradisi.

Thiban menjelaskan, beliau melancarkan manifestonya pada saat akhir kempen selepas meninjau reaksi serta mengenalpasti keperluan dan kemahuan penduduk.

“Saya sudah banyak pusing kampung. Kempen saya bukan sekadar mengenai politik, tetapi saya ambil masa untuk turut mendengar keluhan mereka.

“Ia bukan sekadar manisfeto tetapi ia masalah yang benar-benar wujud di sini. Saya ingin ambil tanggungjawab ini sekiranya terpilih sebagai wakil rakyat,” katanya.

Calon Pakatan Harapan DUN Bukit Melawati Thiban Subramaniam memulakan kempen pada hari ke-12 dengan bersarapan bersama penduduk di Warung Murah Rezeki, Assam Jawa, Kuala Selangor pada 9 Ogos 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati menyaksikan saingan satu lawan satu antara Thiban dan calon Perikatan Nasional Noorazley Yahya.

Hari pengundian bagi PRN Selangor dan lima negeri lain berlangsung 12 Ogos.


Pengarang :