Thiban Subramaniam mendengar isu berbangkit daripada wakil komuniti nelayan di jeti nelayan Tanjong Keramat, Kuala Selangor pada 4 Ogos 2023. Foto Najamuddin Mohd Nor/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Thiban tekad atasi isu nelayan tidak daftar sebagai ahli persatuan

Oleh NAJAMUDDIN MOHD NOR

KUALA SELANGOR, 5 OGOS: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati memandang serius isu nelayan yang masih gagal mendaftar sebagai ahli persatuan nelayan di bawah kelolaan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Thiban Subramaniam, 35, berkata menjadi tekadnya untuk menyelesaikan isu berkenaan sekiranya dipilih wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 12 Ogos ini bagi mengelak nelayan tercicir menerima bantuan kerajaan persekutuan mahu pun Kerajaan Negeri.

“Saya bertekad menyelesaikan isu ini, kira-kira 60 peratus nelayan di DUN Bukit Melawati masih belum mendaftar dengan persatuan nelayan.

“Saya bertekad menjadi pemudah cara selesaikan isu ini yang difahamkan kerenah birokrasi menjadi punca kegagalan nelayan mendaftarkan diri mereka,” katanya ketika ditemui di jeti nelayan Tanjong Keramat, di sini.

Terdahulu, Thiban yang dicabar calon Perikatan Nasional (PN) Noorazley Yahya dalam saingan dua penjuru, mengadakan pertemuan dengan komuniti nelayan di Tanjong Keramat bagi mengenal pasti isu berkaitan nelayan di situ.

“Saya nak semua nelayan jadi ahli supaya kebajikan mereka terbela dan banyak manfaat boleh diperoleh jika nelayan mendaftar contohnya, elaun sara hidup, subsidi diesel, baik pulih dan bina rumah baharu, pinjaman tanpa faedah, pendidikan serta pelbagai lagi yang ada dalam program Iltizam Selangor Penyayang (ISP).

“Paling penting bila musim tengkujuh, nelayan tidak dapat turun ke laut menangkap ikan dan sudah pasti kerajaan pusat dan Kerajaan Negeri akan salurkan bantuan,” katanya.


Pengarang :