Salah seorang penerima Bingkas Salina Damsah membeli barangan keperluan asas ketika tinjauan Media Selangor di Pasaraya Maju A&A, Gombak pada 15 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

TINJAUAN: Bantuan RM3,600 setahun ringan beban rakyat depani kos hidup

SHAH ALAM, 5 OGOS: Bantuan barangan dapur dan keperluan asas berjumlah RM300 sebulan atau RM3,600 setahun yang diperkenal Kerajaan Negeri meringankan beban rakyat berdepan kos hidup tinggi.

Selain makanan, penerima program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) juga boleh membeli keperluan lain seperti lampin pakai buang, susu tepung, barangan sekolah, buku dan barang mandian.

Seramai 30,000 penduduk berpendapatan rendah di negeri ini layak menerima bantuan yang ditambah baik selaras keperluan semasa dan terangkum bawah Iltizam Pemberdayaan Rakyat Selangor.

Berikut reaksi orang ramai dan penerima mengenai BINGKAS:

PENERIMA

Norazila Ibrahim

Sebaik sahaja Kerajaan Negeri Selangor memperkenal BINGKAS, saya tidak lepaskan peluang untuk memohon. Alhamdulillah ia banyak meringankan beban kami sekeluarga.

Cara memohonnya sangat mesra pengguna dan inilah yang benar-benar dikatakan Kerajaan Negeri mahu membantu rakyatnya.

Norazila Ibrahim, 34, bekerja sendiri

 

Sarina Jaini

Bersyukur dapat bantuan ini kerana saya sekeluarga hanya bergantung hidup dengan hasil jualan sate yang pendapatannya tidak menentu.

Saya juga tidak lagi risau makan minum anak-anak kerana dengan bantuan BINGKAS saya dapat beli batangan dapur yang cukup setiap bulan.

Sarina Jaini, 40, peniaga sate

ORANG RAMAI

Noor Syafiqah Mursyidah Mohd Sharif

Ini adalah usaha murni Kerajaan Negeri membantu isi rumah yang mempunyai tangga gaji rendah untuk kelangsungan hidup dengan keadaan ekonomi sekarang. Ia juga bukti Kerajaan Negeri sangat menjaga kebajikan rakyat.

Program ini juga dapat menampung keperluan isi rumah seperti barang dapur, barang sekolah anak-anak. Jumlah RM3,600 sudah semestinya memberi kelegaan buat ketua isi rumah. Tahniah Kerajaan Negeri.

Noor Syafiqah Mursyidah Mohd Sharif, 32, eksekutif pemasaran

 

Sabrina Shaharom

Program BINGKAS sangat baik kerana membantu golongan berpendapatan rendah (B40) dan meringankan beban keluarga yang ada anak lebih dua orang.

Setiap bulan boleh dapat RM300 dan beli barangan seperti lampin pakai buang dan susu. Saya harap Kerajaan Negeri mengekalkan program ini dan banyakkan kuota di kawasan yang mempunyai ramai penduduk.

Sabrina Shaharom, 45, NGO komuniti

 

Ruhanah Masruki

Rakyat Selangor beruntung sebab Kerajaan Negeri cakna keperluan rakyat. Ramai kenalan saya di luar Selangor cemburu sebab kita di sini peroleh macam-macam seperti BINGKAS. Ada yang mahu berpindah ke sini.

Inisiatif ini amat bermakna dan patut jadi contoh kepada negeri lain supaya rakyat B40 di tempat lain juga dapat merasai manfaat seperti di Selangor.

Ruhanah Masruki, 46, peniaga

 

M Krishnama

Pada awalnya saya tidak tahu program ini. Bila dengar Kerajaan Negeri buat BINGKAS, memang saya sambut baik dan sokong sepenuhnya.

Apa yang dia (Kerajaan Negeri) buat untuk kebaikan rakyat sebab sekarang pun harga barang semua naik dan membebankan keluarga susah. Saya percaya BINGKAS sangat bermakna untuk kami di Selangor.

M Krishnama, 58, pembantu kedai

 

Koh Wee Chee

Dengan adanya bantuan BINGKAS, nasib keluarga susah di kampung saya terbela.

Pemilihan BINGKAS ini juga lebih adil kerana sampai kepada mereka yang betul-betul memerlukan berbanding bantuan sebelum ini (KISS).

Koh Wee Chee, 45, Pengerusi MPKK Kampung Baru Kundang

 

Nurulhana Abdullah

Kawan saya penerima BINGKAS dan saya lihat bantuan itu memang banyak membantu meringankan beban keluarganya yang kurang mampu sebab dia pun peniaga kecil seperti saya.

Kalau sakit pening tidak dapat berniaga, hati tidak risau sebab belanja dapur sudah ada dengan bantuan BINGKAS. Kalau ada lagi saya pun nak mohon.

Nurulhana Abdullah, 29, peniaga kuih

 


Pengarang :