AGENSISELANGOR

Tourism Selangor: Diskaun sehingga 50 peratus di Matta Fair 2023

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 17 OGOS: Tourism Selangor menawarkan diskaun sehingga 50 peratus kepada pengunjung Selangor Pavalion @Matta Fair 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) dari 1 hingga 3 September ini.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata 21 operator yang menyertai pameran itu menawarkan pelbagai destinasi untuk dilawati di Selangor seperti taman tema, pelancongan pengembaraan, pelancongan eko dan pelbagai lagi.

“Istimewanya kali ini, Tourism Selangor akan membawakan pengalaman pelancongan maya dengan menggunakan teknologi VR 360.

“Pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah bernilai sehingga RM5,000 ketika acara ini berlangsung dengan menyertai cabaran TikTok,” kata Azrul Shah Mohamad.

Menurutnya turut diadakan ialah Fiesta Pusing Selangor Dulu pada 2 dan 3 September dengan pelbagai persembahan seperti bah bola, kebudayaan, demonstrasi lompatan trampolin oleh bekas atlet terjun negara Ahmad Amsyar Azman serta pelbagai lagi.

“Pengunjung juga berpeluang bertemu dengan Che Puan Juliana Evans, duta pelancongan Kempen Pusing Selangor Dulu serta usahawan kecantikan bonda Rozita pada 2 September,” katanya.

Beberapa tarikan lain turut diadakan seperti trak Safari, replika struktur kapal Amazonia Splash Mania, demonstrasi coklat, rawatan spa dan pelancaran Bas Hop On Hop Off Selangor.

“Tourism Selangor juga menyasarkan 70,000 pengunjung dengan jumlah jualan RM165,000 untuk edisi kedua Matta Fair 2023 ini,” katanya.

Edisi pertama Matta Fair 2023 diadakan di Mitec pada Mac lalu.


Pengarang :