AGENDAJENAYAH

Tujuh remaja ditahan dipercayai terlibat kes pukul pelajar

JOHOR BAHRU, 15 OGOS: Tujuh remaja termasuk warga asing berusia 14 hingga 17 tahun ditahan polis dipercayai terlibat kes pukul pelajar sekolah di Taman Bistari Indah, di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata tujuh remaja yang masih bersekolah itu, ditahan bermula 5.30 petang hingga 9.34 malam tadi di enam lokasi berbeza di daerah ini.

Beliau berkata terdahulu, pihaknya menerima laporan daripada remaja berusia 15 tahun dipercayai mangsa pukul pada 4.09 petang hari sama.

“Pengadu dipercayai dipukul, ditendang, dipijak, disepak dan ditumbuk oleh suspek sehingga mengakibatkan kecederaan dan lebam di bahagian lengan kiri dan kanan, bengkak di bahagian peha kanan dan mengalami kesakitan seluruh badan.

“Hasil siasatan kejadian berlaku pada 3 petang (9 Ogos) dan dipercayai punca kejadian adalah rasa tidak puas hati suspek utama berusia 15 tahun, setelah mangsa berkawan dengan kekasihnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Raub berkata hasil serbuan pihaknya turut merampas jersi biru, tiga helai t-shirt lengan panjang biru gelap, sehelai t-shirt lengan pendek warna hitam dan telefon bimbit.

“Enam suspek bersekolah di sekolah sama kecuali suspek utama dan mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru untuk ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.

Semalam, tular video berdurasi 59 saat di Facebook menunjukkan remaja lelaki dipukul seorang remaja dan terdapat juga beberapa remaja lelaki lain di sekitarnya.

– BERNAMA


Pengarang :