Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) DUN Tanjong Sepat Borhan Aman Shah bersalaman dengan penyokongnya sebelum memasuki pusat penamaan calon di Dewan Komuniti Pantai Putra, Sepang pada 29 Julai 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Tumpu lonjak potensi pelancongan Tanjong Sepat, ketengah produk IKS

SHAH ALAM, 2 OGOS: Usaha melonjak potensi pelancongan di Tanjong Sepat akan terus diberi tumpuan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu jika diberi mandat sekali lagi.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Borhan Aman Shah menjelaskan kawasan pantai Batu Laut berpotensi untuk dibangunkan rumah nelayan terbalik sebagai tarikan pelancongan dalam dan luar negara.

Beliau berkata pelbagai jenis produk industri kecil dan sederhana (IKS) juga boleh terus diketengahkan seperti kerepek, kopi, pau dan tempe untuk meningkatkan pendapatan peniaga.

“Seperti di Sabah, kita mahu bina rumah nelayan di tepi pantai. Kita cadang letakkan sampan terbalik, jala dan apa sahaja berkaitan nelayan untuk pengetahuan pengunjung.

“Kita juga bercadang menyediakan pakej tram untuk pengunjung menjelajah ke perkampungan sekitar, seperti dilaksanakan di Sekinchan yang membawa pelancong melawat sawah padi,” katanya

Mengulas pencapaian sepanjang menjadi wakil rakyat, EXCO kebudayaan itu menjelaskan pembinaan medan selera Majlis Perbandaran Kuala Langat dan dataran pantai Batu Laut antara usaha dilakukan.

“Menerusi anggaran kos RM6 juta, (kemudahan itu) boleh dimanfaatkan sehingga 4,000 orang pada satu-satu masa dan menaikkan ekonomi serta tarikan di Kampung Batu Laut,” katanya.

Pada pilihan raya umum lalu, Borhan memenangi kerusi DUN Tanjong Sepat dengan majoriti 9,828 undi menewaskan Karim Mansor (Barisan Nasional) dan Mohd Haslin Hassan (PAS).

Hari pengundian bagi pilihan raya negeri Selangor dan lima negeri lain ditetapkan pada 12 Ogos.

 


Pengarang :