Calon Pakatan Harapan DUN Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli ketika program walkabout bersama Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani di Pasar Tani AU2, Taman Keramat pada 5 Ogos 2023. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Tumpu pengundi ‘atas pagar’, dekati belia dan wanita Hulu Kelang

Oleh Shamz Johan

AMPANG JAYA, 6 OGOS: Dekati pengundi muda dan wanita antara strategi calon Pakatan Harapan (Harapan) Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang.

Juwairiya Zulkifli berkata setakat lapan hari berkempen, jenteranya sudah turun ke lebih 20 daerah mengundi.

“Bagi pusingan kedua kempen ini, kami sasar beri tumpuan kepada pengundi ‘atas pagar’ kerana saya berlawan dengan nama besar yang dikenali ramai.

“Oleh itu, kita bekerja kuat siang dan malam, turun ke pasar, pangsapuri dan pergi rumah ke rumah untuk memperkenalkan diri (kempen),” katanya.

Beliau ditemui pada program walkabout disertai Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani di Pasar Tani AU2, Taman Keramat di sini semalam.

Juwairiya turut menjelaskan pihaknya akan melihat isu perpindahan pasar tani ke tapak baharu yang disuarakan peniaga.

“Ini sebenarnya tapak kedua (dipindah), disebabkan faktor pembangunan sekitar, ada kemungkinan (peniaga) dipindahkan semula, kita sedang lihat perbincangan lanjut DBKL dan Fama supaya kebajikan terjaga selain lokasi strategik dan perniagaan tidak terjejas,” katanya.


Pengarang :