Penyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) menunggu calon mereka keluar dari pusat penamaan calon yang menempatkan tiga kawasan iaitu N13 Kuang, N14 Rawang dan N15 Taman Templer di luar pekarangan pejabat Majlis Perbandaran Selayang pada 29 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Usah terlalu yakin PN, calon Kerajaan Perpaduan mampu cipta kemenangan

SEKINCHAN, 3 OGOS: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) di utara Selangor optimis mampu menyumbang kemenangan kepada gabungan itu meskipun parti lawan menyuarakan keyakinan bakal mendominasi wilayah itu pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar Datuk Rizam Ismail berkata sebagai penyandang kerusi dan anak tempatan, beliau melihat keyakinan berlebihan Perikatan Nasional (PN) kononnya mereka akan menyapu bersih semua kerusi di utara Selangor, bakal memakan diri.

“Saya rasa keyakinan PN terlalu tinggi sehingga terlupa sentimen anak tempatan yang mana penduduk percaya calon lokal lebih memahami isu setempat dan layak membawa suara dan permasalahan mereka ke peringkat lebih tinggi.

“Kita sedia maklum peranan dan tanggungjawab ADUN ini adalah untuk membina dasar serta perancangan bagi pembangunan negeri dan kawasan yang diwakili dan pastinya hanya anak tempatan yang lebih mengerti serta faham lanskap sesuatu DUN tersebut,” katanya kepada Bernama.

Calon Barisan Nasional DUN Sungai Air Tawar Datuk Rizam Ismail bertemu penduduk di Jualan Ehsan Rahmah di Parit Baru, Sabak Bernam pada 1 Ogos 2023. Foto Facebook Rizam Ismail

Calon HARAPAN DUN Sekinchan Ng Suee Lim pula berkata beliau yakin wakil gabungan HARAPAN-BN mampu meraih kemenangan jika semua anggota dan jentera parti bekerjasama mendekati pengundi sebagai satu pasukan.

Beliau yakin HARAPAN-BN mampu menenggelamkan kebangkitan yang ingin diteruskan PN apabila membuat kejutan memenangi beberapa kerusi Parlimen di utara negeri itu pada pilihan raya umum (PRU) lepas.

“Dengan rekod pentadbiran kerajaan negeri serta tawaran-tawaran yang terkandung dalam manifesto PRN Selangor yang diumumkan baru-baru ini, saya yakin rakyat dapat membuat penilaian terbaik sebelum memberi undi.

“PRU lepas kita bertanding melawan sesama sendiri tetapi untuk PRN ini, saya yakin penyokong HARAPAN dan BN akan bersatu memberi sokongan kepada calon mewakili gabungan PH-BN atas semangat mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri yang seiring dengan kerajaan perpaduan di persekutuan,” katanya.

Calon Pakatan Harapan DUN Sekinchan Ng Suee Lim menziarahi penduduk termasuk warga emas yang uzur pada program Santuni Rakyat dan Sentuhan Kasih di Kampung Parit 9, Sekinchan pada 31 Julai 2023. Foto Facebook Ng Suee Lim

Sementara itu, calon BN DUN Sungai Burong Mohamad Khir Ramli percaya gabungan HARAPAN-BN memberi kekuatan tambahan kepada gerak kerja parti di peringkat akar umbi untuk mengekalkan kemenangan di kawasan itu.

“Saya penuh yakin akan menang. Kalau sebelum ini jentera kita yang bergerak berasingan pun masih kuat memberi saingan, pastinya ‘perkahwinan’ HARAPAN-BN ini menjadikan kita lebih kuat dalam mengatur strategi menggempur lawan. Insya-Allah kita mampu pertahan DUN Sungai Burong,” katanya.

Calon Barisan Nasional DUN Sungai Burong Mohamad Khir Ramli mendekati peniaga dan penduduk sekitar pekan Tanjong Karang pada 3 Ogos 2023. Foto Facebook Khir Ramli

Pada PRU lepas, tiga kawasan Parlimen di utara Selangor iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar dan Tanjong Karang ditawan PN dengan majoriti kemenangan masing-masing sebanyak 5,056, 2,721 serta 1,970 undi.

Hari mengundi bagi PRN di enam negeri termasuk Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang akan berlangsung 12 Ogos ini.

– BERNAMA


Pengarang :