Wakil rakyat Batu Tiga Danial Al-Rasyid mengedarkan Jalur Gemilang sempena dengan sambutan Hari Kebangsaan kepada orang ramai di Petron Seksyen 18, Shah Alam pada 29 Ogos 2023. Foto Facebook Danial Al-Rasyid
ADNSELANGOR

Wakil rakyat Batu Tiga edar 1,300 Jalur Gemilang, semarak semangat patriotisme

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 30 OGOS: Sebanyak 1,300 Jalur Gemilang diedarkan kepada penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga bagi menyemarak sambutan Hari Kebangsaan, esok.

Wakil rakyatnya Danial Al-Rasyid berkata daripada jumlah itu sebanyak 500 bendera lekat di kenderaan diberi secara percuma di beberapa kawasan tumpuan ramai termasuk stesen minyak.

“Manakala 700 Jalur Gemilang bersaiz besar turut diedarkan untuk dikibarkan di kawasan komuniti penduduk.

“Ia bertujuan menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat disegenap lapisan umur,” katanya ketika dihubungi.

Wakil rakyat Batu Tiga Danial Al-Rasyid mengedarkan Jalur Gemilang sempena dengan sambutan Hari Kebangsaan kepada orang ramai di Petron Seksyen 18, Shah Alam pada 29 Ogos 2023. Foto Facebook Danial Al-Rasyid

Selain agihan Jalur Gemilang, Danial turun menyertai beberapa majlis sambutan Hari Kemerdekaan di Tadika KEMAS daerah Petaling, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Padang Jawa dan Sokongan Pendidikan Awal Anak Istimewa (ANIS), Seksyen 15.

“Sebagai mantan Ketua Jabatan ANIS, saya berbangga melihat pembabitan ibu bapa dalam meraikan sambutan Hari Kemerdekaan bersama anak mereka.

“Ucapan terima kasih tidak terhingga atas komitmen ibu bapa yang terlibat dan menyediakan pakaian beragam untuk anak-anak menyertai pertandingan yang disediakan,” katanya.

Terdahulu, beliau mengiringi EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari pada majlis sambutan Hari Kebangsaan Pusat Sokongan Pendidikan Awal ANIS, Seksyen 15, Shah Alam pagi tadi.

Wakil rakyat Batu Tiga Danial Al-Rasyid yang juga Mantan Ketua Jabatan Pusat Anak Istimewa Selangor (ANIS) mengiringi EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari pada majlis sambutan Hari Kemerdekaan Pusat ANIS, Seksyen 15 Shah Alam pada 30 Ogos 2023. Foto Facebook Danial Al-Rasyid

Pengarang :