EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni bercakap kepada media ketika majlis Jamuan Aidiladha KoHijrah Selangor di Laman Niaga Usahawan KoHijrah, Seksyen 15, Shah Alam pada 6 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Zawawi bantu penduduk dapat hak milik strata selepas 25 tahun

OLEH ABDUL RAHIM SABRI

SHAH ALAM, 3 OGOS: Hak pemilikan strata kediaman dan premis perniagaan di pangsapuri Taman Sri Andalas, Klang berjaya diselesaikan Jun lalu selepas berlarutan lebih 25 tahun.

Calon Pakatan Harapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata isu pemilikan membabitkan 159 blok atau 1,123 unit diajukan kepadanya sekitar 2019.

Beliau mengakui pihaknya mengambil masa hampir empat tahun untuk menyelesaikan sepenuhnya perkara itu berikutan pelbagai kekangan antaranya perintah kawalan pergerakan akibat Covid-19.

EXCO Kerajaan Negeri itu mendedahkan cabaran lain termasuk syarikat yang membangunkan kawasan tersebut gulung tikar, sementara pelan atau reka bentuk bangunan asal pula hilang.

“Di sini cabaran bermula, bagaimana untuk mewujudkan pelan reka bentuk, akhirnya syarikat perunding melantik syarikat arkitek untuk melukis semula bangunan ini.

“Saya juga menghadiri lebih 10 mesyuarat koordinasi (bersama pelbagai agensi) untuk memastikan hak pemilikan strata (ini) berjaya,” kata penyandang kerusi itu pada 1 Ogos.

Mohd Zawawi memaklumkan penduduk di situ mendapat hak milik secara berperingkat mulai 17 Jun melibatkan 52 blok, manakala baki akan menerimanya dalam tempoh antara satu ke dua bulan lagi.

Katanya, Majlis Perbandaran Klang dan Pejabat Tanah dan Galian Klang turut mengecualikan cukai berkaitan yang tertunggak lebih RM1 juta kepada penduduk dan pemilik premis perniagaan di situ.

 


Pengarang :