Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama penerima rumah pada majlis penyerahan kunci 420 unit Pangsapuri Selangorku@Seri Temenggung di Gombak pada 22 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

420 pembeli terima kunci pangsapuri Selangorku@Seri Temenggung, siap ikut jadual

GOMBAK, 22 SEPT: Seramai 420 pembeli termasuk 29 peneroka asal menerima kunci pangsapuri Selangorku@Seri Temenggung di sini hari ini.

Serahan kunci rumah mampu milik yang dibangunkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan kerjasama Kumpulan Syarikat Melati Berhad disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Amirudin berkata projek itu siap mengikut jadual sekali gus menyelesaikan isu peneroka asal yang belum menerima tawaran penempatan.

“Hasil perbincangan dengan pihak berkaitan akhirnya kita dapat selesaikan isu berlarutan membabitkan peneroka asal melalui kaedah ‘menang-menang’.

“Hari ini kita dapat lihat 420 unit rumah siap dan diserahkan kunci yang memberi kelegaan kepada mereka,” katanya berucap pada majlis itu.

Penerima rumah Selangorku Amirul Zahin, 30 (kanan) bersama ibunya Jeliah Muhamad, 54 (tengah) di rumah mereka selepas majlis penyerahan kunci 420 unit Pangsapuri Selangorku@Seri Temenggung di Gombak pada 22 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Amirudin menjelaskan projek perumahan itu mendapat sambutan menggalakkan pembeli apabila habis ditempah dalam tempoh sehari semasa pelancaran dibuat pada 2017.

“Dengan kemudahan moden selain kawasan keluar masuk yang sesuai, saya percaya ia mampu meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

“Paling penting kita dapat laksanakan pembangunan kepada semua tanpa meminggirkan mana-mana pihak,” katanya.

Sementara itu, timbalan ketua pegawai eksekutif (pengurusan dan keusahawanan) PKNS optimis projek terbabit menepati citarasa pelanggan berdasarkan reka bentuk dan pemilihan lokasi yang berdekatan jalan raya utama serta lebuh raya.

“Pangsapuri ini bukan sekadar pembangunan fizikal semata-mata, sebaliknya tempat di mana impian pembeli menjadi kenyataan.

“Projek ini bukti keupayaan organisasi kerajaan dan syarikat swasta bekerjasama dengan cekap dalam mencapai matlamat bersama,” kata Suhaimi Kasdon.

Berkeluasan 750 kaki persegi hingga 1,000 kaki persegi, Rumah Selangorku@Seri Temenggung ditawar kepada pembeli pada harga antara RM100,000 hingga RM220,000.

Projek itu dilengkapi kemudahan seperti dua tempat letak kenderaan untuk setiap unit selain taman permainan, surau, dewan serbaguna, bilik tadika, bilik bacaan, kedai runcit dan dobi.


Pengarang :