Ahli Dewan Negeri Kota Damansara Izuan Kasim menyerahkan sumbangan katil elektrik kepada seorang wanita yang menghidap strok di Pangsapuri Floria 1, Seksyen U5, Shah Alam pada 29 September 2023. Foto Facebook Izuan Kasim
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN Kota Damansara ringan beban pesakit strok, sumbang katil elektrik

SHAH ALAM, 30 SEPT: Nasib seorang wanita di Pangsapuri Flora 1, Seksyen U5 di sini yang menderita akibat strok sejak tiga bulan lalu mendapat perhatian wakil rakyat Kota Damansara.

Izuan Kasim hari bersama sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan bantuan katil elektrik dan wang tunai RM400 bagi meringankan kesulitan dihadapi wanita yang mahu dikenali sebagai Nor Izan.

Beliau memaklumkan pergerakan wanita berusia lingkungan 40-an terbatas sejak didiagnos penyakit itu berikutan ketiadaan kemudahan terbabit.

“Kita kenal pasti wanita terbabit yang selama ini terpaksa berbaring di lantai sebelum bekerjasama dengan sebuan NGO untuk menyumbang kerusi hospital elektronik demi keselesaannya.

“Manakala sedikit tunai pula sumbangan ikhlas daripada saya supaya dapat beli barangan asas atau perkakas lain diperlukan,” katanya kepada Selangorkini.

Terdahulu, beliau menziarah wanita berkenaan bersama mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara Shatiri Mansor dan Halimaton Saadiah Bohan.

Izuan berkata beliau prihatin dengan kehidupan wanita terbabit yang kini diurus sepenuhnya seorang anaknya.

“Dia tiada keluarga lain kecuali anak itu yang terpaksa berhenti kerja demi menjaga ibunya. Saya doakan keluarganya tabah dan wanita itu segera diberi kesembuhan,” katanya.


Pengarang :