Pelumba basikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang ketika beraksi dalam peringkat pusingan kelayakan acara pecut Olimpik Tokyo di Velodrom Izu pada 4 Ogos 2021 – Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Azizulhasni cedera ringan selepas terlibat kemalangan ketika berlatih

KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang mengalami kecederaan ringan selepas terlibat dalam kemalangan ketika menjalani latihan di Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan, hari ini.

Detik cemas itu dikongsikan menerusi video berdurasi 35 saat di laman rasmi Facebooknya yang memaparkan kemalangan berkelajuan tinggi itu berlaku semasa beliau sedang memecut bagi mengejar motosikal di hadapannya.

“Sekadar untuk berkongsi dengan semua yang saya terbabit dengan kemalangan kelajuan tinggi ketika sesi latihan disebabkan kegagalan mekanikal. Saya bersyukur kemalangan ini tidak mengakibatkan perkara lebih buruk.

Ia sebenarnya boleh mendatangkan kecederaan yang serius. Sebarang kemalangan yang berlaku dalam situasi ini bukan bahan jenaka. Alhamdulillah, Allah selamatkan saya,” menurutnya menerusi hantaran Facebook tersebut.

Beliau yang turut dikenali dengan julukan “The Pocket Rocketman” sedang dalam rangka persiapan bagi menyertai Sukan Asia 2022 Hangzhou di China yang akan bermula 26 hingga 29 Sept di Velodrom Pusat Sukan Chun’an Jieshou.

Pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, atlet berusia 35 tahun itu berjaya membawa pulang satu pingat emas menerusi acara pecut selain turut meraih pingat perak (pecut berpasukan) dan gangsa untuk acara keirin.

– BERNAMA


Pengarang :