AGENDAJENAYAH

Dua kontraktor perdaya pengelola sekolah hingga RM875,000 didakwa

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Dua kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdaya lembaga pengelola sekolah dengan mengatakan bahawa mereka dilantik oleh kementerian bagi menjalankan kerja-kerja membaik pulih fasiliti sekolah bernilai RM875,000 tiga tahun lepas.

Mohd Syafeeq Mohd, 40, dan Cheah Seng Nam, 48, didakwa bersama-sama memperdaya Lembaga Pengelola Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Semenyih untuk menyerahkan wang sebanyak RM875,000 kepada mereka.

Ia dengan mempercayai mereka adalah kontraktor yang dilantik oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bagi kerja-kerja penyelenggaraan, penambahbaikan dan membaik pulih fasiliti di sekolah berkenaan yang bernilai RM875,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di RHB Bank Cawangan Taman Midah di sini, pada 27 Ogos 2020 hingga 8 Oktober 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Pengawai Pendakwa Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Aliff Shaharuzaman memohon dua lelaki itu masing-masing diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri di pejabat SPRM Selangor pada minggu pertama setiap bulan.

Peguam Ridha Abdah Subri yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon anak guamnya diikat jamin RM12,000 setiap seorang atas alasan mereka telah memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM sepanjang siasatan dijalankan.

“Mohd Syafeeq kini berniaga kedai minuman secara kecil-kecilan manakala Cheah merupakan bapa tunggal selepas isterinya baru sahaja meninggal dunia dan dia perlu menyara seorang anak berumur tujuh tahun.

“Saya tidak membantah syarat-syarat tambahan itu. Kedua-dua anak guam saya sebelum ini telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas kesalahan sama. Oleh itu, pasport mereka telah diserahkan kepada mahkamah berkenaan,” kata peguam itu.

Hakim Rozina Ayob membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan mereka perlu melapor diri di pejabat SPRM Selangor pada minggu pertama setiap bulan serta menetapkan 25 Oktober untuk sebutan semula kes.

Pada 13 September, kedua-dua lelaki itu didakwa Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan memperdaya lembaga pengelola sekolah dengan menjalankan kerja membaik pulih fasiliti bernilai lebih RM1.2 juta, tiga tahun lepas.

– BERNAMA


Pengarang :