EXCO Pelancongan Ng Suee Lim (kiri) bergambar bersama Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad pada sesi dialog awam kakitangan Tourism Selangor di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 22 September 2023. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Eko dan agropelancongan di utara, selatan Selangor diperhebat

SHAH ALAM, 23 SEPT: Kerajaan Negeri bakal memperhebat promosi eko dan agropelancongan di anjung utara dan selatan Selangor mulai tahun depan seiring Tahun Melawat Selangor 2025.

EXCO Pelancongan Ng Suee Lim berkata langkah itu termasuk mewujudkan pakej penginapan tiga hari dua malam ke kawasan berkenaan disertai pelbagai aktiviti.

“Tahun depan kita akan tumpu kepada segmentasi eko dan agropelancongan di anjung utara Selangor kerana di sini terdapat Rancangan Selangor Pertama (RS-1) meliputi projek Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA).

“Selain itu, turut diberi tumpuan kepada anjung selatan negeri ini iaitu di mana terletaknya lapangan terbang sebagai pintu masuk utama negara kemudian disusuli dengan kawasan tengah seperti di Hulu Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program sesi bertemu media dan townhall kakitangan Tourism Selangor bersama EXCO Pelancongan di Bangunan Darul Ehsan di sini semalam.

Padihijau Homestay, Sabak Bernam

Sebelum ini, Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor memperkenal kempen ‘Nak Bercuti, Pusing Selangor Dulu!’ yang menawarkan pelbagai segmentasi pelancongan untuk menggamit pelancong.

Sementara di peringkat global pula agensi itu turut memperkenalkan kempen ‘Splendid Selangor, Take Me Anywhere!’ dan dua kempen dilancarkan pada 2020 ini terus memberi impak yang positif.

Terdahulu, Suee Lim yang menyandang portfolio berkenaan sejak 23 Ogos lalu menyasarkan lapan juta kemasukan pelancong asing ke negeri ini sempena Tahun Melawat Selangor 2025.


Pengarang :