EXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

EXCO: Guna agama pecah belah perpaduan tidak wajar, rujuk saluran betul

SHAH ALAM, 17 SEPT: Rakyat negeri ini dinasihatkan merujuk saluran betul sebelum berhujah menggunakan nama agama.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah menegaskan perbuatan menggunakan nama agama bagi memecah belah perpaduan sangat tidak wajar dan tidak sepatutnya berlaku.

“Semalam (kelmarin) khutbah Jumaat menyebut soal fatwa dan yang mana (fatwa) harus diikuti oleh rakyat. Di Selangor kita ada saluran rasmi (Jabatan Mufti).

“Rujuklah saluran rasmi untuk kefahaman kepada agama Islam sebenar. Islam agama untuk semua dan agama yang benar, jadi tidak perlulah guna agama untuk tujuan pecah belah (perpaduan),” katanya.

EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berucap ketika majlis penutup Konvensyen Merealisasi Khaira Ummah Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah, Masjid Negeri, Shah Alam pada 14 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Masyarakat Majmuk: ‘Serumpun Bak Serai, Sesusun Bak Sirih’ anjuran Jabatan Agama Islam Selangor di Dewan Muzakarah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini semalam.

Beliau turut menjelaskan kejayaan Islam dikembangkan ke seluruh dunia kerana sikap hormat-menghormati antara kaum selain penyatuan dalam kalangan umat Islam.

“Kesatuan ini yang membuatkan Islam itu berjaya dikembangkan ke seluruh dunia dan berjaya daripada sudut ekonomi, politik dan sosial,” katanya.

Pada 12 September, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyeru pemimpin politik supaya tidak memperalat agama bagi meraih sokongan dengan memangsakan rakyat untuk kepentingan diri.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga menegaskan perbuatan mengeluarkan fatwa secara tidak bertanggungjawab perlu dihentikan demi memelihara perpaduan rakyat di negara ini.


Pengarang :