SHAH ALAM, 12 SEPT: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyeru pemimpin politik supaya tidak memperalat agama bagi meraih sokongan dengan memangsakan rakyat untuk kepentingan diri.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menegaskan perbuatan mengeluarkan fatwa secara tidak bertanggungjawab juga perlu dihentikan demi memelihara perpaduan rakyat di negara ini.
Baginda bertitah fatwa yang dikeluarkan ahli politik boleh mencetuskan perbalahan, perpecahan dan keganasan dalam masyarakat yang akhirnya meranapkan tamadun sesuatu bangsa.
“Beta tidak sanggup melihat rakyat berpecah-belah oleh tindak-tanduk sesetengah pemimpin politik yang tidak bertanggungjawab. Ingatan Beta tidak bermaksud menyebelahi mana-mana pihak atau parti.
“Malah Beta memilih untuk mengeluarkan kenyataan selepas pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil selesai bagi mengelakkan ia disalaherti Beta memihak sesuatu kumpulan politik.
“Beta menyeru janganlah agama diperalat bagi meraih sokongan kerana rakyat akan menjadi mangsa kepada perbalahan orang-orang politik yang menunggang agama demi kepentingan diri,” titah Baginda.
Sultan Selangor menegaskan fatwa hanya boleh dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri atau mufti setelah mendapat perkenan Raja bagi setiap negeri yang mengeluarkan fatwa tersebut.
Baginda bertitah Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan juga bertanggungjawab dalam mengeluarkan pandangan hukum setelah berbincang dengan mufti dan mendapat perkenaan Majlis Raja-raja.
“Fatwa yang dikeluarkan bukan semata-mata atas dasar pandangan individu mufti sahaja, bahkan ia dibuat secara kesepakatan majoriti ahli sama ada dalam Jawatankuasa Muzakarah atau Jawatankuasa Fatwa.
“Ini adalah bagi memastikan fatwa yang dikeluarkan adalah tepat dan membawa kebaikan kepada umat Islam dan seluruh rakyat,” titah Baginda lagi.
Sultan Sharafuddin turut menyuarakan kebimbangan isu kaum dan agama yang sering dimainkan terutama menjelang pilihan raya untuk meraih sokongan dan undi berbanding mengusulkan rancangan ekonomi.
“Permasalahan yang dihadapi rakyat sepatutnya diutamakan pada setiap sesi pertemuan demi meyakinkan mereka pemimpin politik sentiasa memikirkan cara mengatasi masalah yang dihadapi,” titah Baginda.