Persembahan tarian dari China ketika Festival Cerita Rakyat Belia Asia Pasifik Pertama di Dewan Sivik MBPJ Petaling Jaya pada 23 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Festival cerita rakyat bentuk kesefahaman etnik, kongsi keunikan seni, budaya

PETALING JAYA, 23 SEPT: Festival Cerita Rakyat Belia Asia Pasifik Pertama anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang berlangsung ketika ini mampu membentuk kefahaman mengenai kepelbagaian etnik.

EXCO pembangunan wanita berkata menerusi program enam hari hingga Selasa depan, peserta berbilang bangsa termasuk dari negara luar dapat berinteraksi seterusnya berkongsi pola kebudayaan masing-masing.

“Kepelbagaian dari segi ras, etnik dan identiti akan mencetuskan perbezaan dalam banyak aspek seperti agama, pekerjaan, bahasa dan politik sekali gus mencorak pelbagai budaya.

Antara pengunjung Festival Cerita Rakyat Belia Asia Pasifik Pertama di Dewan Sivik MBPJ Petaling Jaya pada 23 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Jadi peserta akan memahami, menerima, mendalami, mengakui dan mengiktiraf perbezaan serta keunikan seni dan budaya setiap kaum.

“Melalui pemahaman ini barulah persefahaman terutama mengenai seni dan budaya dapat disemai dan dipupuk dalam kalangan masyarakat sejagat,” kata Anfaal Saari ketika merasmikan festival berkenaan di sini hari ini.

Sebagai usaha berterusan, Anfaal berkata Kerajaan Negeri serta agensi kementerian akan menganjurkan lebih banyak program berteraskan seni bagi menjaga warisan negara.

“Pihak berkuasa tempatan juga akan berusaha mengangkat martabat khazanah warisan sejarah dan budaya,” katanya.

MBPJ mewakili Malaysia sebagai tuan rumah bagi penganjuran festival berkenaan yang berlangsung dari 21 sehingga 26 September ini.

Pengunjung mengikuti persembahan ketika Festival Cerita Rakyat Belia Asia Pasifik Pertama di Dewan Sivik MBPJ Petaling Jaya pada 23 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Bertemakan ‘Menghayati Budaya dan Warisan’, program diisi dengan beberapa aktiviti menarik antaranya persembahan kebudayaan antarabangsa, seminar kerjaya seni, Persidangan Seni Antarabangsa PJ 2023.

Malam esok acara diteruskan dengan persembahan artis seperti Datuk Awie, Ella, Ziana Zain dan Datuk Hattan.


Pengarang :