Antara babak dalam filem Anwar: The Untold Story yang ditayangkan di seluruh negara mulai 18 Mei 2023. Foto Instagram Bianglala Entertainment
AGENDANASIONAL

Filem biopik Anwar ungguli carta teratas Netflix, bakal tayang di IPT

SHAH ALAM, 4 SEPT: Kisah jatuh bangun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam politik mengungguli carta teratas saluran penstriman global Netflix sejak Khamis lalu.

Filem biopik Anwar: The Untold Story lakonan Farid Kamil dan Acha Septriasa berada pada kedudukan pertama, sekali gus mengatasi filem The Pope’s Exorcist lakonan Russel Crowe.

Memetik laporan Berita Harian, penerbit eksekutif Zulkiflee Anwar Haq atau Zunar menganggap pencapaian tersebut petanda positif filem berkenaan semakin diterima ramai.

Jelasnya, karya dengan mesej pendidikan menceritakan kisah Anwar selaku timbalan perdana menteri ketika itu untuk menentang rasuah, selain menjelaskan fakta sebenar pada 1998.

“Tidak dinafikan ramai tidak berkesempatan menonton filem ini ketika ditayangkan di pawagam Mei lalu berikutan situasi semasa seperti persiapan pilihan raya negeri 2023,” katanya.

“Tidak seperti filem komersial lain, filem biopik perlu ditonton beberapa kali untuk memahami mesej yang cuba disampaikan. Bagi saya, apabila naskhah ini ditayangkan di Netflix, ia keputusan tepat kerana penonton mempunyai masa untuk melihat filem ini berulang kali.”

Dalam pada itu, Zunar yang juga penulis skrip filem berkenaan menambah naskhah tersebut bakal ditayangkan di institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai sumber rujukan.

Beliau berkata meskipun karya tersebut bukan dokumentasi lengkap, namun ia masih boleh dijadikan rujukan untuk pelajar perfileman berdasarkan fakta yang terkandung di dalamnya.

“Tujuan ditayangkan di IPT kerana kumpulan sasaran adalah generasi muda kerana selain bakal pengundi, mereka juga bakal menjadi pelapis untuk pemimpin negara pada masa depan,” katanya.

Filem arahan pengarah Indonesia Viva Westi itu menyaksikan Farid memegang watak Anwar, manakala Acha membawa watak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku teraju utama.

Karya berlatarkan tempoh antara 1993 dan 1998 serta berdurasi 108 minit turut dibintangi Hasnul Rahmat, Firdaus Karim, Saskia Chadwick, Piet Pagau dan Dewi Irawan.

 


Pengarang :