Orang ramai membeli pelbagai barangan keperluan asas pada Jelajah Ehsan Rahmah (JER) sempena Hari Bertemu Pelanggan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di dewan serbaguna MPAJ AU2, Ampang pada 24 September 2023. Foto Norrasyidah Arshad/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Hari bertemu pelanggan jadi pusat sehenti, ada jualan murah, kaunter zakat

AMPANG, 24 SEPT: Jelajah Ehsan Rahmah (JER) yang menjual keperluan asas pada harga lebih murah dari pasaran diadakan sempena Hari Bertemu Pelanggan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini.

Pengurus Pentadbiran Hartanah, Ahmad Kamal Mohd Hasan berkata menerusi kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) pihaknya dapat menarik lebih ramai penduduk hadir ke dewan serbaguna MPAJ AU2 terutama pembeli rumah PKNS.

“Program hari ini dijadikan seperti pusat sehenti. Penduduk wilayah tengah dari Ampang dan Gombak dapat berurusan dengan PKNS di samping membeli barangan keperluan pada harga murah.


Pengurus Pentadbiran Hartanah PKNS, Ahmad Kamal Mohd Hasan ditemui pada Hari Bertemu Pelanggan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di dewan serbaguna MPAJ AU2, Ampang pada 24 September 2023. Foto Norrasyidah Arshad/SELANGORKINI

“Ini merupakan kerjasama kedua bersama PKPS. Sebelum ini kita adakan di Shah Alam dan akan datang di Bangi. Kita akan teruskan kerana manfaatnya besar,” katanya kepada SelangorKini.

Ahmad Kamal berkata selain JER, pihaknya turut mempelawa Lembaga Zakat Selangor (LZS) serta Pejabat Tanah dan Daerah Gombak membuka kaunter bagi memudahkan urusan penduduk.

“Hari ini mereka bukan hanya dapat berurusan dengan PKNS sahaja tetapi juga agensi lain. Boleh semak cukai dengan pejabat tanah atau memeriksa kelayakan bantuan zakat,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Selangor membelanjakan subsidi RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih 5 juta rakyat.

PKPS pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS


Pengarang :