Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Isteri kerap jadi mangsa keganasan rumah tangga, suami tidak terkecuali

SHAH ALAM, 13 SEPT: Golongan wanita di negeri ini kerap menjadi mangsa keganasan rumah tangga dengan 352 kes dilaporkan antara Januari hingga Ogos lalu, maklum ketua polis Selangor.

Menurut Datuk Hussien Omar Khan, kes turut membabitkan adik-beradik dengan 177 kes sementara keganasan terhadap suami pula sebanyak 121 kes, lapor Berita Harian.

“Selain itu, terdapat juga mangsa kes keganasan rumah tangga membabitkan bekas suami, bekas isteri, madu, ipar, menantu dan sepupu,” katanya seperti dilaporkan portal itu.

Beliau menjelaskan jenis kesalahan keganasan rumah tangga paling banyak dilaporkan ialah mendatangkan kecederaan iaitu 593 kes, ugutan (153 kes) dan khianat (49 kes).

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 813 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di negeri itu dalam tempoh lapan bulan sejak Januari, dengan Gombak paling tinggi iaitu 147 kes.

“Daerah yang mencatatkan kes terendah adalah Shah Alam (21 kes), Sabak Bernam (25 kes) dan Sungai Buloh (26 kes),” kata Hussien Omar.


Pengarang :