EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berucap ketika majlis penutup Konvensyen Merealisasi Khaira Ummah Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah, Masjid Negeri, Shah Alam pada 14 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Jangan guna agama timbulkan suasana tegang, pecah belah umat demi kuasa

SHAH ALAM, 16 SEPT: Semua lapisan masyarakat negeri ini diseru menjauhi perbuatan menghukum dengan menggunakan agama sewenang-sewenangnya, selaras titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah kesal sikap tidak bertanggungjawab pihak tertentu menggunakan nama agama untuk mewujudkan ketegangan masyarakat demi meraih sokongan, kemasyhuran dan kuasa.

“Marilah bersama menghindari perbuatan dan budaya bersangka buruk, menyebarkan berita tidak tepat, memfitnah, mencela dan menghukum sewenangnya.

“Agar apa juga perbezaan pandangan akan memberi nilai tambah kepada kemakmuran negeri dan negara, bukannya menjadi punca perbalahan, perpecahan dan kerosakan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata rakyat juga perlu menerima pakai kontrak sosial dimeterai dalam Perlembagaan Persekutuan supaya perpaduan masyarakat pemacu utama kejayaan negara.

“Selangor penuh dengan elemen, faktor dan unsur utama bagi pembentukan sebuah tamadun yang unggul serta dicontohi,” katanya.

Beliau juga mengajak rakyat menginsafi perjuangan Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dan pejuang kemerdekaan lain yang berjaya memerdekakan negara daripada penjajah hasil perpaduan utuh kaum.

Tambahnya perpaduan utuh itu juga memacu pembangunan ekonomi negara ke tahap lebih tinggi.

“Kepelbagaian agama, kepercayaan, adat, budaya dan latar belakang yang menjadi asas kekuatan negara seharusnya diraikan, bukan dieksploitasi untuk dirobek, diracik serta dihancurkan,” katanya lagi.

Pada 12 September, Sultan Sharafuddin menyeru pemimpin politik supaya tidak memperalat agama bagi meraih sokongan dengan memangsakan rakyat untuk kepentingan diri.

Baginda juga menegaskan perbuatan mengeluarkan fatwa secara tidak bertanggungjawab perlu dihentikan demi memelihara perpaduan rakyat di negara ini.

 


Pengarang :