Sebahagian peserta yang menghadiri temu duga ketika program Jelajah JobCare di Dewan Utama Demesne, Hulu Langat pada 21 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jelajah Jobcare: 248 individu dipanggil temu duga kedua, 57 dapat kerja

SHAH ALAM , 19 SEPT: Seramai 248 individu dipanggil menghadiri temu duga kali kedua untuk pelbagai jawatan dalam jelajah Jobcare siri kedua yang dijalankan sejak 26 Ogos.

Ketua Penyelarasnya Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) Vijayan Subramaniam berkata pekerjaaan itu antaranya eksekutif kanan, pembantu tadika dan pelajar latihan industri.

“Seramai 248 orang itu ditapis daripada 415 pencari kerja dalam tiga siri lokasi jelajah. Selain itu, 57 individu memperoleh pekerjaan serta-merta melalui proram itu.

“Sepanjang jelajah ini, kita bawa hampir 30 syarikat mengikut lokasi dalam pelbagai sektor antaranya pendidikan, perhotelan dan pelancongan,” katanya kepada Selangorkini.

Vijayan turut mempelawa orang ramai untuk hadir ke program seterusnya di Dewan Dato’ Abdul Hamid, Hulu Selangor pada 30 September.

Beliau menjelaskan sebanyak sembilan siri jelajah diadakan bermula di Petaling dan berakhir di Sabak Bernam pada 16 Disember.

“Jangan lepaskan peluang untuk hadir kerana puluhan kerjaya dalam pelbagai sektor menarik ditawarkan buat semua,” katanya.

Orang ramai yang berminat boleh mendaftar menerusi pautan myfuturejobs.gov.my/careerfair/ atau mengimbas kod QR di poster.

Berikut lokasi jelajah Jobcare:

  • Dewan Hamzah Klang (21 Oktober)
  • Dewan Sri Jugra, Kuala Langat (28 Oktober)
  • Dewan Cempaka, Hulu Langat (4 November)
  • Dewan Dato’ Penggawa, Kuala Selangor (2 Disember)
  • Dewan Sri Bernam, Sabak Bernam (16 Disember)

Pengarang :