Kemudahan khemah yang disediakan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (gambar hiasan). Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jumlah mangsa bah di Kedah menurun, tiga PPS masih beroperasi

ALOR SETAR, 30 SEPT: Jumlah mangsa banjir di Kedah semakin menurun apabila hanya tiga pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di Daerah Kota Setar yang menempatkan 437 orang daripada 147 keluarga, setakat 8 malam ini.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata jumlah itu berkurangan berbanding 1,383 mangsa daripada 420 keluarga di 12 PPS yang dicatatkan 8 pagi tadi.

“Tiga PPS yang masih beroperasi di Kota Setar ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Aman yang menempatkan seramai 277 mangsa daripada 95 keluarga, SK Seri Gunung (103 orang daripada 33 keluarga) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Merah (57 mangsa daripada 19 keluarga).

Sebanyak sembilan PPS iaitu satu di Kubang Pasu, dua di Kota Setar, dua di Pokok Sena dan empat di Baling telah ditutup sepenuhnya petang tadi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Muhammad Suhaimi berkata keadaan cuaca yang semakin baik dan paras air yang telah surut di beberapa kawasan membolehkan mangsa pulang ke rumah masing-masing.

– BERNAMA


Pengarang :