KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Pengendali skuad bawah 23 tahun (B-23) negara E. Elavarasan mengakui harapan terhadap Malaysia adalah tinggi pada pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2024 di Chonburi, Thailand pada 6 hingga 12 Sept ini.
Beliau berkata ramai meletakkan harapan untuk skuad Harimau Muda layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2024 di Qatar pada Mei tahun depan, yang turut menawarkan slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Setelah mempersiapkan pasukan sejak Februari lepas termasuk mengharungi tiga pertandingan berbeza di peringkat rantau iaitu Piala Merlion pada Mac, Sukan SEA (Mei) dan Kejohanan B-23 Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) bulan lepas, Elevarasan berkata anak buahnya sudah bersedia untuk memenuhi harapan peminat.
“Kita datang sini dengan sasaran sekurang-kurangnya mendapat slot di pusingan akhir, kita juga telah melakukan penggiliran pemain dan menggunakan pengalaman yang diperoleh dalam semua kejohanan dan diharapkan barisan pemain dapat melakukan yang terbaik kali ini.
“Harapan terhadap Malaysia amat tinggi, kita datang ke sini sudah tentulah untuk melakukan yang terbaik dan cuba untuk memenuhi harapan peminat. Ia satu cabaran yang sukar tapi kita mahu lebih jauh dalam kempen ini,” katanya pada sidang media praperlawanan di Chonburi hari ini.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan H, dijadual berdepan Bangladesh di Stadiumn Chonburi petang esok, diikuti Filipina (Sabtu) sebelum mengharungi aksi terakhir berdepan tuan rumah Thailand pada Selasa, juga di venue sama.
Hanya juara setiap kumpulan dan empat naib juara terbaik akan layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2024.
Malaysia layak ke Piala Asia B-23 untuk kali pertama pada 2018 di China dan berjaya melangkah ke suku akhir sebelum tewas di peringkat kumpulan pada edisi 2022 yang berlangsung di Uzbekistan.
— BERNAMA