Wakil Lembaga Zakat Selangor (LZS) turun padang bagi mendapatkan maklumat penyanyi popular era-80 Zaiton Sameon yang hidup dalam kesusahan. Foto Facebook LZS
AGENSISELANGOR

Keperitan hidup Zaiton Sameon dapat perhatian Zakat Selangor

SHAH ALAM, 26 SEPT: Keperitan hidup penyanyi popular era 80-an Zaiton Sameon yang memohon bantuan kewangan kerana hidup sebatang kara mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Agensi itu turun padang baru-baru ini bagi mendapatkan maklumat diperlukan dalam usaha meringankan beban penyanyi yang popular dengan lagu Menaruh Harapan.

Menurutnya, pihaknya membantu Zaiton, 67, mengisi borang zakat bagi bantuan sewa bilik, kewangan dan makanan bulanan yang akan disalur awal bulan depan selain wang kecemasan.

“Kami di Zakat Selangor terpanggil untuk menziarahi legenda hebat ini dan ingin bertanya tentang keadaannya.

“Insya-Allah diharap dengan hasil zakat yang ditunaikan ini, dapatlah kita saksikan penyanyi legenda kita, Zaiton Sameon terus sihat dan sentiasa dalam keadaan yang baik,” katanya di Facebook semalam.

LZS menambah banyak jasa ditabur penyanyi veteran itu suatu ketika dahulu dengan menghiburkan pendengar lagu-lagu yang masih lagi dimainkan di beberapa stesen radio.

Katanya Zaiton tetap cuba untuk bangkit semula dengan keringatnya, namun gagal ekoran keadaan ekonomi ketika ini.

“(Beliau) hanya mengharapkan bantuan daripada kenalan rapatnya untuk teruskan kehidupannya,” katanya menambah kesempitan Zaiton turut mendapat perhatian banyak pihak.

Baru-baru ini, Zaiton dilapor memohon bantuan kewangan dan terpaksa menumpang di rumah anak angkatnya serta kurang mendapat tawaran menyanyi.

Zaiton mengalami kemalangan jalan raya di Batang Kali, Selangor pada 1990, mengakibatkan anak tunggalnya, Azirwan Abu Bakar yang ketika itu berusia 13 tahun meninggal dunia manakala beliau mengalami hilang ingatan sementara.


Pengarang :