AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Air Selangor tambah baik, senggara aset LRA Sungai Langat

SHAH ALAM, 26 SEPT: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan melaksanakan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat.

Susulan itu, agensi memaklumkan kerja berkaitan akan mengakibatkan gangguan bekalan air berjadual di Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat bermula 9 pagi pada 10 Oktober.

Menurutnya kerja itu dijangka siap pada 7 malam hari sama, dengan bekalan air disalur kepada pengguna secara berperingkat apabila sistem agihan utama distabilkan.

“Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah hari, 12 Oktober 2023 (Khamis).

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna serta tekanan pada sistem agihan bekalan air,” katanya di Facebook hari ini.

Air Selangor menambah lori tangki air ke kawasan terjejas akan digerakkan dengan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

“Air Selangor ingin menasihatkan pelanggan yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini.

“Bagi pelanggan komersial pula, bekalan air terawat boleh dibeli di mana-mana kaunter khidmat pelanggan di seluruh wilayah Air Selangor. Bagi tujuan ini, pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di dua stesen pengisian air yang akan dibuka di Sunway Batu Caves dan Selayang Mutiara,” katanya.

Maklumat berhubung gangguan bekalan air boleh dicapai menerusi aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

Senarai kawasan terjejas bekalan air seperti lampiran:


Pengarang :