Orang ramai mengaminkan doa yang dibaca oleh bekas Mufti Besar Mesir Dr Ali Jum’ah ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 23 Mei 2023 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Khutbah ingatkan bahaya fitnah isu tutup sekolah agama, tauliah, guru Kafa

SHAH ALAM, 8 SEPT: Khutbah Jumaat mengingatkan bahaya fitnah dan cerita palsu dilemparkan pihak tertentu terhadap dasar dan tindakan kerajaan serta pihak berkuasa agama dalam beberapa perkara.

Menurut teks khutbah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), fitnah disebarkan termasuk keputusan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengetatkan syarat keperluan tauliah mengajar di Selangor.

Turut terkait ialah isu pemutihan sekolah agama persendirian selain penyusunan semula guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) yang didakwa cara kerajaan mahu menutup institusi berkenaan.

“Adakah tuduhan-tuduhan liar ini adalah cara yang diajarkan oleh Nabi SAW kepada kita semua? Dalam hal ini, mimbar ingin menegaskan berhentilah dari melemparkan fitnah dan tohmahan ini semua.

“Mimbar juga berpesan sebelum membuat kenyataan, dapatkan fakta tepat kerana dibimbangi perbuatan sebegini akan merisaukan ibu bapa dan menghakis kepercayaan orang ramai terhadap institusi dan pihak berkuasa agama khususnya di Selangor,” katanya.

Bulan lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berharap polis segera mengesan kumpulan yang melempar fitnah kononnya pusat tahfiz dan sekolah agama persendirian di negeri ini ditutup.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah tohmahan itu menimbulkan kerisauan ibu bapa dan menghakis kepercayaan umat Islam terhadap institusi dan pihak berkuasa agama di negeri ini

Pada 16 Ogos, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meminta semua pihak supaya tidak mengulangi fitnah kononnya lebih 200 sekolah agama persendirian di negeri ini akan ditutup.

Julai lalu, beliau menegaskan tiada satu pun notis merobohkan mana-mana sekolah agama persendirian dikeluarkan pentadbiran negeri seperti dakwaan pihak tertentu.

Pada 27 Jun, Kerajaan Selangor juga memberi kelonggaran dengan melanjutkan tempoh pendaftaran 55 sekolah agama persendirian untuk beroperasi sekurang-kurangnya hingga tahun depan.

Ia membantu kira-kira 10,000 pelajar untuk menduduki peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) pada November dan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) pada Januari tahun depan.


Pengarang :