EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han (dari belakang, tengah) serta Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari Idris (dari belakang, dua kiri) menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara RISE Aero Sdn Bhd, Subang MRO dan AEROSIM (HK) Ltd sempena Pameran Udara Selangor (SAS) 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 8 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

RISE Aero, AEROSIM jalin kerjasama bangun institusi latihan teknikal aeroangkasa

SHAH ALAM, 8 SEPT: RISE Aero Sdn Bhd menjalin kerjasama dengan AEROSIM (HK) Ltd bagi membangunkan institusi latihan teknikal aeroangkasa kepada pelajar dan graduan.

Penasihat korporat kumpulan RISE Aero berkata melalui kerjasama itu, AEROSIM akan menyediakan makmal bagi memberi peluang kepada pelajar menjalani program simulasi dan penyelidikan berkaitan penerbangan.

“Penubuhan institusi ini selaras cita-cita menarik minat lebih ramai pelajar terhadap program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Pelajar yang tamat latihan di institusi ini akan memperoleh sijil Boeing ForeFlight selain berpeluang menjalani latihan praktikal sambil bekerja sama ada di RISE atau AEROSIM,” kata Aminuddin Zakaria.

Terdahulu, memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak dimeterai sempena Pameran Udara Selangor (SAS) 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong di sini hari ini.

Pemeteraian MoU turut disaksikan EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari Idris.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata pihaknya juga bekerjasama dengan Subang MRO Sdn Bhd bagi menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat perniagaan di Malaysia dan Asia Tenggara.

“Perkhidmatan lain ditawarkan termasuk penyelenggaraan kabin, pemeriksaan enjin, penyimpanan pesawat serta pengubahsuaian pesawat,” katanya.

Pameran Penerbangan Selangor 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Shah Alam pada 8 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :