Mesin pengutip sampah Interceptor 002 ketika lawatan Tourism Selangor dan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) bersama media di Sungai Klang pada 20 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

LLSB kutip 88,000 tan metrik sampah di Sungai Klang sejak 2016

KLANG, 20 SEPT: Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) mengeluarkan sebanyak 88,000 tan metrik sampah daripada Sungai Klang sejak 2016 sehingga Ogos lalu.

Pegawai Khidmat Korporatnya (Komunikasi) Suhailah Shamsudin berkata sampah tersebut dikeluarkan menggunakan mesin pengutip sampah Interceptor 005 dan 002 dan tujuh perangkap sampah sepanjang sungai berkenaan.

Pegawai Khidmat Korporat (Komunikasi) Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) Suhailah Shamsudin bercakap kepada media selepas melawat mesin pengutip sampah Interceptor  di Kelab Kapal Layar DiRaja Selangor, Klang pada 20 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Dianggarkan 88,000 tan metrik sampah atau digambarkan seperti seluas kapal terbang Boeing 777 berjaya dikeluarkan yang mana 80 peratus daripadanya adalah plastik.

“Tanggungjawab penjagaan sungai ini bukan di atas bahu LLSB semata-mata sebaliknya memerlukan kerjasama semua iaitu masyarakat.

“Harus diingat penambahan sampah ke dalam laut hanya mengakibatkan peningkatan kos pungutan iaitu RM250 bagi setiap tan metrik,”katanya ditemui selepas lawatan bersama media anjuran kerjasama Tourism Selangor.

Mesin pengutip sampah Interceptor 002 ketika tinjauan Tourism Selangor dan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) bersama media di Sungai Klang ketika lawatan bersama media pada 20 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Terdahulu, beberapa agensi media dibawa menaiki bot penumpang menyelusuri Sungai Klang sejauh 30 kilometer dan melihat sendiri operasi Interceptor dan perangkap sampah.

Beliau menjelaskan berdasarkan Sistem Pemantauan Kualiti Air, Sungai Klang kini berada di kelas tiga dan pihaknya tekad untuk mencapai kelas satu iaitu air yang boleh terus diminum.

“Tidak mustahil kita boleh mencapainya kerana sewaktu Covid-19, pernah berada di kelas dua berikutan sekatan dan kurangnya aktiviti di luar,”katanya.

Pegawai Khidmat Korporat (Komunikasi) Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) Suhailah Shamsudin menunjukkan gambar keadaan kebersihan sungai ketika lawatan bersama media pada 20 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pada 2018, Kerajaan Negeri melancarkan projek Selangor Maritime Gateway (SMG) yang dikendali LLSB sebagai inisiatif untuk membersih, memulihara dan membangunkan Sungai Klang yang tercemar.

LLSB merupakan sebuah anak syarikat milikan penuh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) dipertanggungjawab merancang dan mengurus pelaksanaan projek tersebut.


Pengarang :