Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan Majlis pelancaran lori kompaktor dan imej korporat baharu KDEBWM di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Shah Alam pada 20 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

KDEBWM perkenal lori pemampat baharu, beri imej lebih berani

SHAH ALAM, 20 SEPT: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan lori pemampat berserta imej korporat baharu milik KDEB Waste Management (KDEBWM) di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri (SUK) hari ini

Pelancaran aset berkenaan bersempena penyambungan kontrak syarikat urus sisa pepejal itu dengan Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang berkuat kuasa 1 Oktober depan selama tujuh tahun.

Pengarah urusan KDEBWM, Datuk Ramli Mohd Tahir berkata pihaknya membelanjakan RM30 juta bagi menyediakan lori berwarna merah kuning, selari dengan tema negeri serta slogan #KitaSelangor.

Wajah baru lori kompaktor KDEB Waste Management (KDEBWM) yang dilancarkan ketika Majlis pelancaran lori kompaktor dan imej korporat baharu KDEBWM di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Shah Alam pada 20 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Pelaksanaan ini bermula di Klang memandangkan pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama menggunakan khidmat kita pada 2016. Awal tahun depan, kita akan perluas ke PBT lain.

“Hari ini menunjukkan KDEBWM masuk fasa kedua. Dahulu kita guna lori berwarna biru putih 16 tan dan kali ini menggunakan lori merah kuning sebanyak 75 buah berkapasiti 18 dan 19 tan.

“Jadi dengan saiz baharu ini, ia lebih elektif dan mampu membuat kutipan lebih banyak. Dengan warna tema negeri dan perubahan imej ini, kita beri perkhidmatan lebih segar dan berani serta sampaikan manifestasi sebagai pemain industri yang proaktif,” katanya.

Dalam majlis berkenaan Amirudin turut menyaksikan penyerahan replika kunci antara Ramli dan Yang Dipertua MPK, Noraini Roslan sebagai simbolik penyambungan kontrak.


Pengarang :