Sebahagian aksi skuad bola sepak bawah 23 tahun negara (B-23) ketika berdepan Bangladesh pada pertama pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2024 di Stadium Chonburi, Thailand pada 6 September 2023. Foto Facebook Football Association of Malaysia
AGENDASUKANKINI

Malaysia tundukkan Bangladesh 2-0 pada aksi pertama kelayakan Piala Asia B-23

KUALA LUMPUR, 6 SEPT: Skuad bola sepak bawah 23 tahun negara (B-23) bermula dengan langkah kanan apabila menewaskan Bangladesh 2-0 pada aksi pertama pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2024 di Stadium Chonburi, Thailand hari ini.

Aksi separuh masa pertama menyaksikan anak buah E. Elavarasan agresif melakukan asakan bertali arus ke gawang lawan sehingga Alif Ikmalrizal menjaringkan gol pada minit ke-42 namun dibatalkan apabila Alif didapati berada pada kedudukan ofsaid.

Bersambung pada babak kedua, Harimau Muda membuat beberapa pertukaran pemain sebelum Aliff Izwan melakukan rembatan jarak jauh pada minit ke-81 untuk gol pertama Malaysia.

Tersentak dengan jaringan itu, Bangladesh di bawah kendalian Mohammad Zulfiker Mahmud Mintu cuba menyamakan kedudukan, namun Fergus Tierney muncul wira apabila merembat masuk gol kedua Malaysia pada waktu kecederaan (90+4) bagi memastikan skuad negara meraih tiga mata penuh pada aksi sulung pusingan pertama peringkat kelayakan ini.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan H seterusnya akan bertemu Filipina (9 Sept) sebelum mengharungi aksi terakhir berdepan tuan rumah Thailand (12 Sept) juga di venue sama.

Hanya juara setiap kumpulan dan empat naib juara terbaik akan layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2024.

Malaysia layak ke Piala Asia B-23 untuk kali pertama pada 2018 di China dan berjaya melangkah ke suku akhir sebelum tewas di peringkat kumpulan pada edisi 2022 yang berlangsung di Uzbekistan.

– BERNAMA

 


Pengarang :