BUDAYARENCANA

Menolak sembuh

Oleh Rien Sd

Senja itu, dia belum berganjak. Masih memantau rombongan burung pulang ke sarang. Sesekali matanya melilau melihat dahan yang meliuk tepat di atas ubun kepalanya. Bersandar tanpa tikar di bawah pokok itu sejak sembilan puluh minit lalu. Dia masih digasak oleh resah yang sering bertandang dan sesekali dibelasah teruk oleh momen- momen yang telah berlalu.

“Pejam mata lupakan semuanya, bukan senang” dia bermonolog.

Tiga bulan yang lalu, ibunya meninggal dunia akibat Leukaemia. Tiada petanda ibunya akan pergi. Lima hari di wad dan akhirnya keputusan tuhan mengatasi harapan anak- anaknya. Dia terhuyung hayang. Sembilan belas tahun, usia yang masih terlalu muda untuk menilik-nilik nasib.

Pemuda ini mengabadikan dirinya pada sastera dan falsafah. Daripada sebuah manuskrip Melayu silam seperti Hikayat Patani ke naskah moden Tulang-Tulang Berserakan oleh Tongkat Warrant. Sesekali menaakul karya pengamal sastera dari seberang seperti Pram dan Goenawan sebagai santapan.

Sejak kehilangan hari itu, dia mula dihimpit dengan keresahan. Malam sering terasa begitu panjang. Insomnia menjadi algojoh yang menghempuk tengkorak kepalanya sehingga retak dan berkecai. Baginya, malam bukan lagi untuk berehat, namun ruang sempit yang mengurung para banduan. Jiwanya mula bergelora, hangus, dan lunyai. Malam adalah kesunyian yang menyobek-nyobek perasaannya.

Kebencian dan kesumat kepada malam mula menyusup masuk ke dalam daging dan urat lehernya. Mengalir dan mengepam ke setiap inci dan penjuru jasadnya.

“Istirahatlah, esok akan ada siang lagi. Kita akan berbohong lagi. Kita akan mengusir, menyepak punggung malam ketika ia mampir” serangkap puisi yang dikarangnya ketika gelap membungkus langit dengan malam.

Dia sakit- namun dia tidak mahu mengakuinya. Bermula mengaku adalah mengalah sebelum melangkah, fikirnya. Tidak semua orang tahu. Ada beberapa temannya yang sedar, namun tidak peduli. Ada yang meminta untuk dia healing, namun falsafahnya begitu rigid dalam hal ini- iaitu sembuh adalah luka baru yang tidak berparut.

“Malam tak pernah setuju. Dia memenjara kita seperti cecunguk itu. Kita diminta menjadi banduan yang baik. Melupakan cerita siang tadi” dia masih merakam dendam. Setiap malam. Sesekali air matanya melintang di pipi, dibiarkan deras turun membasah dagu. Mengesatnya adalah mengalah, fikirnya.

“Aku tak percaya healing ni” konversasinya bersama temannya seminggu lalu.

“Kau kena healing, pergi bersendiri. Tengok pantai. Dengar lagu. Ah, kau tulislah puisi, baru stail,” jawab temannya dengan sedikit sinis.

“HAHAHA!” Dia berdekah. Kopi hitam dihirup, masih panas berasap. Tumitnya dihentak- hentak dan matanya dialih ke luar jendela.

“Healing sampai pagi ta-baley?” mereka ketawa serentak. Mata berair menahan gelak.

“Tak payah healing bro, buang duit beli kerusi healing. Buat apa sembuh kalau berkali-kali luka juga?” dia berdeham. Bibir dikatup. Mata mereka bersabung.

Berbaur nihilisme namun dia masih menganggap falsafah ini absurd. Dia hanya menolak sembuh, bukan menolak sistem moral. Dia percaya bahawa keadaan atau apa-apa yang menimpa kita adalah mortal. Ianya peristiwa yang singgah. Pergi ketika kita tidak menerimanya, hadir ketika kita mengulitinya.

Hari demi hari, siang berganti malam dan bulan berganti tahun. Dia mengumpul energi dalam jiwanya. Dia merawat dan membalut luka. Parutnya menjadi koleksi estetik semacam arkib yang mendokumentasikan keresahannya.

Dia sedar, merawat itu semangat. Menggantikannya dengan Lorazepam adalah mustahil bagi sesetengah orang atau paling kurang, healing masih menjadi jalan kedua. Namun, tidak melawan adalah tertawan, fikirnya.

“Sehingga saat ini, kita masih sukar mengakhiri siang, yang tetap panjang, yang penuh cerita keanak-anakan” gurindam yang ke- 101 ditorehnya dalam hati.

Jeda.

Tengkuk diusap. Mata kuyunya membingkaikan beban resah yang ditanggung. Ada parut yang seakan mahu luka semula. Dia masih menghitung teman-teman yang memahami kondisinya. Namun, minta difahami adalah bisu sebelum bicara, fikirnya.

“Aku pun sama. Aku faham apa kau rasa,” temannya menceroboh khayal. Habis roboh semua yang diimbaunya.

“Aku tak minta kau faham dan kita tak perlu sama. Aku nak kau rasa!” sergah kecilnya. Tangannya berkeringat, tetapi masih tenang.

Di tepi mereka, ada yang mula mencabut pancang khemah, menggulung tikar dan berkemas-kemas. Mereka masih mengunjurkan kaki. Retina semakin sukar menangkap cahaya, senja hampir pupus- esok belum tentu dapat diintai lagi, fikirnya.

Senja itu berakhir. Lupus dalam kerumunan jiwa. Manusia meneruskan hidup, tapi menang adalah keputusan yang manusia tidak akan pernah tahu. Sembuhlah dengan segala macam kekuatan.

Mereka beredar, dia menulis puisi yang belum siap. Menolak sembuh adalah menerima luka, hidup bersama sakit, dan berdamai dengan keduanya.

“Kuatlah, hati.” Dia Bermonolog. Pulang rumah.


Pengarang :