AGENDAJENAYAH

Murid darjah satu ditampar guru kerana tuduh rakan curi surat

SHAH ALAM, 23 SEPT: Seorang murid darjah satu di sebuah sekolah di Kampung Jawa, Klang ditampar guru selepas menuduh rakannya mencuri surat pemberitahuan hari sukan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan berkata pihaknya membuka kertas siasatan selepas ibu kanak-kanak terbabit membuat laporan pada 19 September manakala kejadian berlaku pada 5.50 petang 18 September, lapor Harian Metro.

“Seorang guru wanita bertanya kepada semua murid berkenaan surat pemberitahuan hari sukan. Anak pengadu beritahu suratnya hilang dipercayai dicuri rakan.

“Guru itu menjalankan pemeriksaan dan mendapati surat berkenaan tidak hilang sebaliknya berada dalam beg sekolahnya.

“Guru terbabit kemudian menegur anak pengadu supaya jangan menuduh orang lain tanpa bukti kukuh lalu menampar pipi kiri murid itu,” kata Asisten Komisioner Cha Hoong Fong.

Beliau menambah akibat kejadian itu pipi murid berkenaan kemerahan dan bengkak dan pihaknya akan merakam keterangan guru terbabit dan saksi yang boleh membantu siasatan.

“Kertas siasatan akan dilengkapkan dalam tempoh terdekat sebelum dirujuk kepada timbalan pendakwa raya,” katanya.


Pengarang :