Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama replika kunci dan penerima rumah Selangorku ketika Majlis perasmian penyerahan kunci 420 unit Pangsapuri Selangorku @ Seri Temenggung di Pangsapuri Seri Temenggung, Gombak pada 22 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penantian lebih sedekad warga emas miliki rumah sendiri jadi nyata

GOMBAK, 23 SEPT: Penantian lebih sedekad sepasang warga emas yang juga peneroka asal dari Kampung Temenggung, Batu Caves di sini untuk menduduki rumah sendiri akhirnya menjadi kenyataan.

Mhd Adam Abdullah, 69, dan Nik Norizan Iberahim, 63, sukar menyembunyikan kegembiraan sebaik menerima kunci Pangsapuri Selangorku@Seri Temenggung yang diserah Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari semalam.

Mhd Adam Abdullah

Mereka bersyukur Kerajaan Selangor mengotakan janji untuk menawarkan kediaman baharu selepas diarah mengosongkan penempatan setinggan yang dibina sejak 1986 susulan penguatkuasaan ‘Setinggan Sifar’ sekitar 2006.

Peniaga kuetiau goreng basah itu tidak menyangka tapak dahulunya seperti hutan belantara berubah menjadi pangsapuri separuh bandar yang bakal dihuni bersama isteri termasuk 28 peneroka asal lain.

“Alhamdulillah, sangat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana membela nasib kami yang sudah lama mengimpikan untuk duduk di rumah sendiri.

Mohd Fuad Mat Din

“Kami rancang untuk pindah ke sini awal tahun depan memandangkan ruang dalaman rumah perlu ditambah baik terutama perkakas rumah,” kata bapa lima anak itu.

Seorang lagi peneroka asal, Mohd Fuad Mat Din, 55, menganggap tawaran unit yang dilengkapi pelbagai kemudahan setimpal dengan tindakan perobohan penempatan setinggan didudukinya bersama peneroka asal lain sejak 37 tahun lalu.

Beliau juga memuji usaha pentadbiran negeri membayar pampasan RM500 sebulan bagi membantu peneroka asal yang perlu menyewa di kawasan lain sementara menunggu pembinaan pangsapuri terbabit siap sepenuhnya.

Penerima rumah Selangorku Amirul Zahin, 30 (kanan) bersama ibunya Jeliah Muhamad, 54 (tengah) duduk di sofa rumah mereka selepas Majlis perasmian penyerahan kunci 420 unit Pangsapuri Selangorku @ Seri Temenggung di Pangsapuri Seri Temenggung, Gombak pada 22 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kami bersetuju dengan kaedah ‘menang-menang’ yang mana Kerajaan Negeri beri pampasan sebelum kami keluar dari penempatan ini pada 2012.

“Sepanjang menunggu rumah siap bimbang juga sekiranya projek tidak dapat disiapkan memandangkan sebelum ini sering dengar banyak projek perumahan terbengkalai.

Nur Liyana Yahya

“Bagaimanapun Kerajaan Selangor membuktikan sebaliknya. Alhamdulillah, rumah yang dijanjikan siap mengikut jadual,” katanya.

Nur Liyana Yahya, 31, pula bangga apabila berpeluang memiliki rumah sendiri pada usia muda selepas permohonan dibuat empat tahun lalu.

Pekerja sektor swasta yang sebelum ini menyewa di Sentul, Kuala Lumpur juga menganggap rumah itu rezeki anak keempatnya yang kini dalam kandungan.

“Gembira sebab dapat rumah sesuai dengan pendapatan kami golongan berpendapatan rendah. Saya tahu projek ini melalui laman sesawang Lembaga Perumahan Hartanah Selangor dan terus mohon.

“Alhamdulillah selepas pinjaman lulus, saya dan suami segera berurusan dengan pemaju serta firma guaman. Ini rezeki anak dan kami cadang masuk rumah baharu bulan depan,” katanya.


Pengarang :