Tingkap Cafe
BERITA UTAMABUDAYARENCANA

Nikmati cita rasa rakyat Malaysia di Selangor

Oleh TOURISM SELANGOR

Malaysia terkenal sebagai syurga makanan dengan pelbagai juadah dari Semenanjung hingga ke Borneo yang menjadi tarikan utama kepada pelancong sama ada dari dalam negara atau luar negara.

Tourism Selangor mempelawa pelancong terutama dari Sabah dan Sarawak untuk merasai juadah enak dari seluruh pelusuk negara yang terdapat di negeri ini.

Tingkap Cafe: Seni dan aroma

Menawarkan gabungan unik seni, budaya, dan hidangan, kafe ini tidak hanya terkenal dengan hidangan tempatan yang lazat tetapi juga dengan sentuhan seni yang menarik.

Bagi mereka yang menghargai daya tarikan bandar lama dan kenangan zaman dahulu di Malaysia, Kafe Tingkap di Petaling Jaya Old Town adalah tempat yang wajib dikunjungi.

Antara menu terbaik yang patut anda cuba adalah nasi dagang, nasi kerabu, dan nasi berlauk yang didatangkan khas dari Kelantan.

Mohana Bistro

Mohana Bistro, Klang: Gabungan rasa

Tidak lengkap kalau kita tidak singgah ke salah satu tempat makanan yang autentik di Klang.

Restoran yang menghidangkan pelbagai juadah dan masakan India, Mohana Bistro menawarkan pelbagai juadah seperti biryani, kari, roti dan pelbagai pilihan makanan vegetarian, semestinya akan membuatkan anda kekenyangan di sini.

World of Phalaenopsis

World of Phalaenopsis, Ulu Yam: Pesta bunga

Berkonsepkan flora, World of Phalaenopsis merupakan sebuah restoran yang dikelilingi kepelbagaian spesis orkid yang sangat memukau.

Menawarkan juadah dengan sentuhan citarasa Malaysia, kepelbagaian menu yang ditawarkan juga menjadikan pengalaman makan di sini, sesuatu yang unik dan tidak dapat dilupakan.

Teng Wun Bakery

Teng Wun Bakery & Confectionery: Kedai roti tradisional

Kedai roti tradisional yang menyajikan pastri dan manisan seperti kuih bulan yang dibuat secara tradisional, char siew bao dan tat telur yang enak. Bakeri ini juga dikenali dengan pelbagai pastri tradisional yang terkenal dalam kalangan kaum Cina.

Untuk mereka yang ingin belajar tentang seni kulinari tradisional Malaysia dan tradisi pembuatan roti di Pekan Kuala Kubu Bharu, jangan lupa singgah di sini.

Orchard D’lagong Cafe

Orchard D’Lagong Cafe: Pemandangan indah

Menyajikan hidangan tradisional yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia seperti nasi lemak dan lempeng bersama sambal tumis, anda mesti singgah ke Orchard D’Lagong Cafe di Bukit Langong, Gombak, Selangor.

Restoran yang tersembunyi di tengah-tengah keindahan alam semula jadi ini menawarkan suasana yang tenang untuk para pengunjungnya.

Warung Ketupat Kampung Permatang

Warung Ketupat Kampung Permatang: Rasa tradisi

Ajak rakan-rakan dan keluarga anda ke Warung Ketupat Kampung Permatang di Selangor.

Gerai ini memberikan suasana yang klasik, dengan hidangan pelbagai juadah tradisional termasuk ketupat, iaitu juadah yang sangat lazim dengan rakyat Malaysia

Family Kopitiam

Family Kopitiam Jalan Raya Timur Klang: Warisan kulinari

Family Kopitiam yang terletak di Jalan Raya Timur Klang merupakan ‘hotspot’ untuk pengunjung yang datang dari pelbagai generasi sama ada muda atau tua untuk menikmati pelbagai juadah tempatan seperti Nasi Ayam Hainan dan Mee Goreng.

Di sini anda boleh melihat keunikan kepelbagaian kaum yang ada di Malaysia.

 


Pengarang :