Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat pada 19 September 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pemimpin politik diingat tidak heret institusi raja dalam gelanggang politik

SHAH ALAM, 19 SEPT: Perdana Menteri mengingatkan ahli parlimen dan pemimpin politik supaya tidak mengheret institusi diraja ke dalam gelanggang politik.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua pihak harus menghormati kedaulatan institusi diraja dan kedudukan istimewanya.

“Jadi, tolonglah ingat (jangan heret institusi diraja dalam gelanggang politik). (Jika berlaku) tindakan akan diambil berdasarkan titah dan keputusan (dan) undang-undang yang ada dalam Akta Hasutan.

“Isu agama, raja dan bangsa (3R) ini, kalau ia menentang Perdana Menteri atau kerajaan saya tidak mahu gunakan (Akta Hasutan) walaupun betul ada undang-undang.

“Sebelum kita pinda (Akta Hasutan) saya tidak mahu ini digunakan, tetapi bila menyentuh kedudukan raja-raja, itu keputusan raja-raja supaya tindakan diambil kerana kita harus berlaku adil kepada raja-raja.

“(Raja-raja) tidak boleh jawab di Parlimen, dalam media (atau) perbahasan biasa,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata raja-raja mempunyai asas tidak mahu dikaitkan dengan politik.

“Ada basis sebab dia (raja-raja) kata jangan heret dia dalam gelangggang politik. Tidak adil (untuk institusi itu).

“Dalam kes Selangor umpamanya laporan itu daripada Dewan Diraja Selangor, bukan laporan daripada saya atau Peguam negara ambil tindakan berdasarkan laporan kita, Dewan Diraja Selangor dan Tuanku Sultan Selangor yang menitahkan sedemikan.

“Oleh itu kita jelaskan kepada polis ambil tindakan tapi kalau menyentuh kritik kerajaan atau Perdana Menteri saya tidak mahu Akta Hasutan digunakan tapi kalau menyentuh raja-raja ia terserah kepada raja-raja.

“Raja-raja juga telah memaklumkan kepada Peguam Negara, polis dan juga Perdana Menteri bahawa mereka tidak mahu diheret dalam perbincangan politik dan kenyataan terbuka telah dikeluarkan oleh Majlis Raja-Raja dan juga Sultan Selangor selaku Pengerusi MKI,” katanya.

Pada 12 September, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru polis mengambil tindakan proaktif dalam menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang membangkitkan isu sensitif melibatkan agama, kaum dan kedudukan Raja-Raja Melayu.

Ia supaya menjadi pengajaran dan ketakutan kepada mereka yang berhasrat melakukan perkara yang sama di masa hadapan.


Pengarang :