Pasukan Simfonik Wind (SPWinds) Sekolah Seri Puteri (SSP) ketika mewakili negara dalam pertandingan Golden Sardana di Barcelona, Sepanyol pada 12 hingga 16 September 2023. Foto Facebook Selangor Royal Office
SELANGOR

Permaisuri ucap tahniah Sekolah Seri Puteri bolot anugerah di Sepanyol

SHAH ALAM, 23 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor berkenan merakam ucapan tahniah atas kejayaan pasukan orkestra Sekolah Seri Puteri (SSP) yang mengungguli Pertandingan Golden Sardana di Barcelona, Sepanyol.

Tengku Permaisuri Hajah Norashikin yang juga Penaung Diraja SSP menzahirkan rasa bangga apabila Pasukan Simfonik Wind (SPWinds) turut membolot tiga anugerah sekali gus mengharumkan nama Malaysia dalam pertandingan berprestij itu.

“Baginda percaya, dengan ketekunan dan kegigihan puteri-puteri SPWinds dan semua pihak yang menyokong pasukan ini, mereka akan terus menempa kejayaan yang lebih cemerlang dan gemilang di masa akan datang,” tulis Selangor Royal Office di Facebook.

Pada pertandingan yang berlangsung 12 hingga 16 September lalu, SPWinds merangkul hadiah utama, Anugerah Excellent Golden Diploma selain dua anugerah khas, Special Prize Extraordinary Artistic Impression dan Golden Sardana.

Pasukan itu mempertaruhkan tiga lagu Wind of Provence, Tanah Pusaka dan Barbaresque.


Pengarang :