PETALING JAYA, 12 SEPT: Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mengiktiraf Petaling Jaya sebagai Bandar Raya Mesra Kanak-Kanak pertama di Malaysia.
Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya Aznan Hassan berkata kejayaan itu wajar dibanggakan kerana Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) adalah pihak berkuasa tempatan pertama (PBT) di negara ini menerima anugerah tersebut.
“Kita baru dapat pengiktarafan minggu lalu di Sepanyol dan Datuk Bandar (Mohamad Azhan Md Amir) masih berada di sana kini.
“Kita bangga menerima pengiktirafan ini kerana bukan mudah untuk mendapatkannya dan sudah empat tahun kita berusaha,” katanya selepas merasmikan Ekspo Buku Petaling Jaya 2023 (PJBX2023) di Dewan Sivik MBPJ hari ini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/09/pj2-500x326.jpg.webp)
Selain menyediakan kemudahan mesra kanak-kanak, Aznan berkata antara kriteria yang melayakkan Petaling Jaya menerima pengiktirafan berkenaan adalah kerana insiatif mewujudkan Majlis Kanak-Kanak dalam organisasi PBT.
“Bandar ini mesra kanak-kanak dari segi kemudahannya. Selain itu, kita juga mendekati mereka melalui Majlis Kanak-Kanak yang dianggotai oleh 24 individu berumur enam hingga 17 tahun yang ada bersama ketika mesyuarat penuh MBPJ.
“Tujuannya adalah mereka lebih matang, mengeluarkan idea (bandar mesra kanak-kanak) dan mencungkil bakat kepimpinan,” katanya.
Jun lalu, wakil UNICEF Malaysia Amanda Bissex mengumumkan Petaling Jaya dicalonkan sebagai bandar raya mesra kanak-kanak dalam Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya ke-16.