Anggota polis trafik mengeluarkan saman terhadap penunggang motosikal yang melakukan kesalahkan jalan raya pada Op Bersepadu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, yang dihadiri Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim di Jalan Raja Laut berhadapan Sekolah Kebangsaan Batu pada malam 30 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis keluar 2.56 juta saman, kesalahan trafik paling tinggi

SHAH ALAM, 12 SEPT: Sebanyak 2.56 juta kompaun saman pelbagai kesalahan dikeluarkan polis secara bersemuka dan kamera atau penguatkuasaan dalam tempoh lapan bulan tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman memaklumkan saman tertinggi dikeluarkan membabitkan kesalahan trafik iaitu 985,635 saman, lapor Berita Harian.

Datuk Seri Mat Kasim Karim menjelaskan kesalahan lain termasuk memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan dan memotong di garisan berkembar.

Beliau berkata kesalahan memotong barisan dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu juga antara yang dikesan selain saman tidak mempunyai lesen sah atau atau tamat tempoh.

“Sebanyak 154,369 keping saman turut dikeluarkan terhadap kesalahan yang menyumbang kemalangan. Contohnya apabila kenderaan rosak, pemandu gagal meletakkan penanda segi tiga hingga berlakunya kemalangan,” katanya.

Dalam pada itu, Mat Kasim berkata kategori saman lain membabitkan kes kemalangan dan nombor plat kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi Jabatan Pengangkutan Jalan.

Beliau berkata pihaknya akan sentiasa melakukan penguatkuasaan bagi memastikan pengguna jalan raya mengikut peraturan ditetapkan termasuk melaksanakan saman ekor bermula 21 Ogos lalu.

 


Pengarang :