AGENDAJENAYAH

Polis berkas lelaki warga Indonesia, rampas dadah lebih RM1.9 juta

KUALA SELANGOR, 25 SEPT: Polis menahan seorang lelaki warga Indonesia dan merampas 60.3 kilogram (kg) dadah dipercayai jenis syabu dan ekstasi bernilai lebih RM1.9 juta dalam serbuan di sekitar jeti nelayan di Sungai Buloh, Jeram di sini Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Ramli Kasa berkata serbuan pada 2.30 pagi itu dilakukan selepas polis menerima maklumat daripada orang awam berkaitan kegiatan mencurigakan oleh lelaki berusia 21 tahun itu di jeti tersebut.

“Ketika ditahan, lelaki itu dipercayai dalam proses untuk menghantar dadah ke negara jiran.

“Hasil pemeriksaan, polis merampas 56 bungkusan plastik ‘teh cina’ disyaki mengandungi dadah jenis syabu dianggar seberat 58.9 kg bernilai RM1.85 juta dan satu beg plastik berisi 3,500 biji pil dipercayai ekstasi dianggar seberat 1.4 kg (RM59,000) di kawasan semak berhampiran jeti itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ramli berkata lelaki itu dipercayai menjadikan kawasan semak terbabit sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diseludup keluar bagi pasaran Indonesia menerusi laluan laut dengan menggunakan bot.

Beliau berkata lelaki itu juga didapati telah masuk ke negara ini menggunakan pas pelancong pada 13 Sept lepas.

“Lelaki itu yang positif terhadap syabu direman hingga Rabu ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :