EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah bergambar bersama penari Festival Merakyatkan Seni Budaya Mah Meri @ Selangor 2023 (FMSB) di Perkarangan Pusat Kraf Orang Asli Kampung Sungai Bumbun Pulau Carey Kuala Langat pada 3 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Program budaya negeri ke Brunei tahun depan, ketengah seni warisan suku Mah Meri

SEPANG, 16 SEPT: Kerajaan Negeri berhasrat memperkenalkan program kebudayaan dan kesenian Selangor ke Brunei menerusi program Silang Budaya, tahun hadapan.

EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah berkata program itu bakal mengetengahkan warisan seni Orang Asli dari suku Mah Meri ke peringkat antarabangsa.

EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah berucap ketika Prapelancaran Pengisytiharan Pewartaan Sate Kajang Sebagai Identiti Makanan Warisan di Avani Sepang Goldcoast, Sepang pada 16 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Apabila kita sebut Orang Asli, mungkin tidak ada di sana. Selepas ini kita akan berbincang dengan Tourism Selangor untuk bawa Mah Meri ke Brunei, ini perancangan kita.

“Kita akan bawa warisan dan kebudayaan Selangor ke Brunei tahun hadapan. Mudah-mudahan menjadi kenyataan,” katanya hari ini.

Terdahulu Borhan menghadiri majlis prapengisytiharan sate Kajang sebagai makanan warisan Selangor di Avani Sepang Goldcoast Resort di Pantai Bagan Lalang di sini.

Persembahan seni cempuling dan muzik asli Selangor daripada Kumpulan Tunas Cempuling dan Muzik Asli Sri Kenchana pada program Silang Budaya ke Indonesia di Malaysia Hall Jakarta pada 9 Jun 2023. Foto Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tanjung Sepat

Selangor buat julung kalinya menganjur program Silang Budaya bagi memperkenal seni dan warisan negeri ke luar negara yang berlangsung pada 9 hingga 13 Jun di Indonesia.

Menerusi acara itu, Selangor memperkenal seni cempuling dan muzik asli Selangor termasuklah persembahan kebudayaan, sesi dialog dan lawatan ke pusat warisan terkenal di negara tersebut.

Susulan penganjuran program di Malaysia Hall Jakarta itu, kerajaan Indonesia berhasrat membuat kunjungan balas ke Selangor untuk mempelajari seni cempuling dan muzik asli.


Pengarang :