Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar penerangan juruterbang ketika melawat Pameran Penerbangan Selangor 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Shah Alam pada 7 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Program IKTISASS lahir tenaga kerja mahir, penuhi keperluan sektor penerbangan

SHAH ALAM, 9 SEPT: Kerajaan Negeri optimis program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) mampu menyediakan tenaga kerja berkemahiran dalam sektor penerbangan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin berkata menerusinya Selangor bersedia menjadi pelopor penyedia tenaga kerja sektor berkenaan termasuk dalam bidang pengendalian pesawat dan kejuruteraan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis pembukaan Pameran Penerbangan Selangor 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Shah Alam pada 7 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Sebagai contoh syarikat Boeing menganggarkan susulan peningkatan trafik udara, industri akan memerlukan 790,000 lagi juruterbang dan 754,000 lagi juruteknik dalam tempoh 20 tahun akan datang iaitu lebih daripada 1.5 juta pekerja mahir dalam dua subsektor penerbangan.

“Kita ada IKTISASS yang mungkin boleh membantu kepada industri penerbangan yang saya tengok kosnya agak tinggi (bagi sekolah penerbangan) contohnya perlukan kira-kira RM300,000 beberapa tahun untuk dapatkan sijil (layak memandu kapal terbang).

“Setiap tahun menerusi IKTISASS kita peruntukan kira-kira RM15 juta dan sudah fokus kepada beberapa syarikat tetapi jika ada keperluan saya rasa boleh bantu industri ini bagi kurangkan kos dan mengisi kekosongan yang diperlukan,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar dihadapan Kenderaan penunda elektrik bagi pesawat komersial pertama di Malaysia ketika di Pameran Penerbangan Selangor 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Shah Alam pada 7 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Ditemui selepas merasmikan Pameran Udara Selangor (SAS) 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong hari ini, Amirudin berkata Selangor turut bersedia untuk memanfaatkan sepenuhnya industri dron melalui Pusat Kecemerlangan Dron Selangor (SDCoE).

“Kita yang memberi tumpuan kepada pesawat ringan, pesawat laut, kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) dan penerbangan sukan,” katanya.

Menyasar potensi nilai transaksi RM700 juta untuk penganjuran acara kali ini, negara terlibat antaranya Amerika Syarikat, Perancis, Denmark, Singapura, Australia dan Hong Kong seramai 20,000 pengunjung disasar menyeratai pameran itu.

Mula dianjur sejak 2021, SAS menjadi landasan Kerajaan Negeri menggalakkan pertumbuhan sektor aeroangkasa dan membantu syarikat tempatan serta usahawan kecil dan sederhana meneroka bidang itu.

Sebanyak RM15 juta diperuntuk untuk program IKTISASS yang menumpukan program latihan kemahiran seiring keperluan industri terkini.


Pengarang :